SPA-FRANCORCHAMPS, Belgium: Pelumba sensasi Belanda, Max Verstappen menceriakan ribuan peminatnya yang berkampung di Ardennes, di sini selepas mengungguli sesi latihan bebas Formula Satu (F1) Grand Prix Belanda, hari ini.
Pemandu pasukan Red Bull berusia 18 tahun itu yang lahir kurang 50 kilometer daripada litar bersejarah Spa-Francorchamps di Hasselt itu mencatatkan masa terpantas 1 minit 48.085 saat (s) pada sesi kedua.
Sesi pertama di sebelah pagi dikuasai pelumba pasukan Mercedes AMG PETRONAS, Nico Rosberg yang melakukan catatan 1:48.348s.
Catatan yang dibuat Verstappen pada sesi kedua itu 0.256s lebih pantas berbanding rakan sepasukannya, Daniel Ricciardo yang mencatat masa kedua terpantas sekali gus memberi petanda baik buat pasukan yang dijana enjin Renault itu.
Ini kali ketiga Verstappen yang dianggap bintang paling menyerlah F1 itu menguasai sesi latihan dan lebih manis ia dilakukan di depan ribuan penyokongnya yang berkhemah di kawasan pokok di litar bagi mengelakkan haba panas.
Pelumba Jerman, Nico Huelkenberg dari pasukan Force India melakukan catatan ketiga terpantas di depan rakan senegaranya, Sebastian Vettel dari Ferrari, diikuti seorang lagi pelumba Force India, Sergio Perez.
Rosberg sekadar melakukan keenam terpantas pada sesi kedua.
Pada sesi pertama di sebelah lagi, pelumba kelahiran Jerman itu mencatat masa terpantas diikuti rakan sepasukannya yang juga pendahulu kejuaraan, Lewis Hamilton namun kedua-duanya memberi tumpuan dalam persediaan perlumbaan panjang menggunakan tayar pertengahan.
Pelumba Finland, Kimi Raikkonen yang baru mendirikan rumah tangga ketika rehat musim panas lalu mencatatkan masa ketujuh terpantas diikuti pelumba Perancis, Romain Grosjean, pelumba Britain, Jenson Button (McLaren) dan Esteban Gutierrez dari Mexico (Haas).
Rosberg ketika ini ketinggalan 19 mata di belakang Hamilton berbaki sembilan perlumbaan musim ini namun penukaran unit kuasa yang dilakukan penyandang juara itu menyaksikannya berkemungkinan berdepan hukuman berat di grid perlumbaan.
Selepas melakukan penukaran pada kedua-dua sesi hari ini, juara dunia tiga kali itu dijangka menggunakan satu lagi unit kuasa baru di sesi ketiga, esok - tindakan yang dijangka akan menyebabkannya dikenakan hukuman penalti 75 tempat di grid perlumbaan yang juga satu rekod di F1.
Beberapa siri kegagalan enjin awal tahun ini bermakna Hamilton sudah mencapai tahap terakhir di mana perkakasan baru dibenar digunakan bagi musim ini ketika Rosberg yang memenangi empat perlumbaan awal tahun ini tidak berdepan sebarang masalah. - AFP
Keputusan
Sesi latihan bebas 2:
1. Max Verstappen (NED) Red Bull 1:48.085s
2. Daniel Ricciardo (AUS) Red Bull 1:48.341s
3. Nico Hülkenberg (GER) Force India 1:48.657s
4. Sebastian Vettel (GER) Ferrari 1:49.023s
5. Sergio Perez (MEX) Force India 1:49.100s
6. Nico Rosberg (GER) Mercedes-AMG 1:49.161s
7. Kimi Raikkonen (FIN) Ferrari 1:49.244s
8. Romain Grosjean (FRA) Haas 1:49.419s
9. Jenson Button (GBR) McLaren-Honda 1:49.419s
10. Esteban Gutierrez (MEX) Haas 1:49.648s
11. Pascal Wehrlein (GER) Manor 1:49.716s
12. Fernando Alonso (ESP) McLaren-Honda 1:49.772s
13. Lewis Hamilton (GBR) Mercedes-AMG 1:49.782s
14. Daniil Kvyat (RUS) Toro Rosso 1:49.916s
15. Marcus Ericsson (SWE) Sauber 1:50.083s
16. Valtteri Bottas (FIN) Williams 1:50.151s
17. Felipe Massa (BRA) Williams 1:50.157s
18. Carlos Sainz Jr (ESP) Toro Rosso 1:50.194s
19. Kevin Magnussen (DEN) Renault 1:50.375s
20. Jolyon Palmer (GBR) Renault 1:50.562s
21. Estéban Ocon (FRA) Manor 1:50.659s
22. Felipe Nasr (BRA) Sauber 1:50.719s
Sesi latihan bebas 1:
1. Nico Rosberg (GER) Mercedes-AMG 1:48.348s
2. Lewis Hamilton (GBR) Mercedes-AMG 1:49.078s
3. Kimi Raikkonen (FIN) Ferrari 1:49.147s
4. Sergio Perez (MEX) Force India 1:49.274s
5. Sebastian Vettel (GER) Ferrari 1:49.768s
6. Daniel Ricciardo (AUS) Red Bull 1:49.782s
7. Max Verstappen (NED) Red Bull 1:49.865s
8. Nico Hülkenberg (GER) Force India 1:50.088s
9. Valtteri Bottas (FIN) Williams 1:50.394s
10. Esteban Gutierrez (MEX) Haas 1:50.583s
11. Romain Grosjean (FRA) Haas 1:50.899s
12. Felipe Massa (BRA) Williams 1:51.122s
13. Marcus Ericsson (SWE) Sauber 1:51.125s
14. Carlos Sainz Jr (ESP) Toro Rosso 1:51.424s
15. Felipe Nasr (BRA) Sauber 1:51.768s
16. Estéban Ocon (FRA) Manor 1:51.787s
17. Daniil Kvyat (RUS) Toro Rosso 1:52.308s
18. Jenson Button (GBR) McLaren-Honda 1:52.407s
19. Pascal Wehrlein (GER) Manor 1:52.837s
20. Kevin Magnussen (DEN) Renault 1:53.053s
21. Jolyon Palmer (GBR) Renault 1:53.089s
22. Fernando Alonso (ESP) McLaren-Honda