Selasa, 23 Ogos 2016 | 8:03am

La Liga: Leganes kejutkan Celta Vigo, Valencia tumbang

PEMAIN Celta Vigo, Iago Aspas (kiri) bersaing dengan pemain Leganes, Martin Montovani dalam aksi La Liga di Stadium Balaidos, di Vigo, Galicia, Sepanyol. - Foto EPA
PEMAIN Celta Vigo, Iago Aspas (kiri) bersaing dengan pemain Leganes, Martin Montovani dalam aksi La Liga di Stadium Balaidos, di Vigo, Galicia, Sepanyol. - Foto EPA

MADRID: Victor Diaz menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika pendatang baru La Liga, Leganes menewaskan Celta Vigo 1-0, awal pagi tadi yang juga kemenangan pertama kelab kerdil itu di liga elit Sepanyol.

Bermula daripada sepakan sudut, Diaz melakukan tindakan bijak dengan memanfaat bola yang dihantar kepadanya di kawasan penalti pada minit ke-75 untuk menghadiahkan kemenangan buat Leganes yang dinaikkan pangkat ke La Liga buat pertama kali.

Kelab itu beraksi di La Liga selepas menamatkan saingan divisyen dua Sepanyol musim lalu sebagai naib juara.

Leganes yang ditubuhkan pada tahun 1928 akan menanti kunjungan Atletico Madrid di stadium kecil mereka yang memiliki kapasiti 8,000 tempat duduk di pinggir Madrid bagi aksi pertama mereka di laman sendiri, minggu depan.

Ia diikuti kunjungan ke laman penyandang juara, Barcelona bulan depan.

Dalam pada itu, Las Palmas turut mengejutkan satu lagi kuasa besar La Liga, Valencia 4-2 di Mestalla dengan penyerang Craotia, Marko Livaja menjaringkan dua gol cantik perlawanan pertama mereka musim ini.

Santi Mina meletakkan Valencia di depan pada minit keenam namun Livaja menyamakan kedudukan sebelum Jonathan Viera melengkapkan penalti diikuti jaringan Kevin-Prince Boateng yang meletakkan pelawat selesa di depan.

Mina sekali lagi menjaringkan gol buat Valencia namun Livaja mengesahkan kemenangan Palmas menerusi gol di minit-minit terakhir perlawanan. - AFP

Berita Harian X