Ahad, 21 Ogos 2016 | 12:00pm

Hafizh petak ke-14, Adam, Khairul Idham bergelut

Penunggang Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah.
Penunggang Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

KUALA LUMPUR: Penunggang Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah akan memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) Republik Czech, hari ini di petak ke-14 ketika dua pelumba Moto3, Adam Norrodin dan Khairul Idham Pawi bergelut di Litar Brno.

Pada sesi kelayakan semalam, Hafizh yang menunggang untuk pasukan PETRONAS Raceline Malaysia melakukan catatan terbaik 2 minit (m) 02.528 saat (s), ketinggalan 0.947s di belakang pelumba petak pertama, Johann Zarco dari Perancis.

Begitupun, nasib berbeza diharungi pemenang dua perlumbaan Moto3 musim ini, Khairul Idham yang sekadar menamatkan sesi kelayakan di tempat ke-29 terpantas dengan catatan 2'09.739s.

Lebih mengecewakan, juara di GP Argentina dan GP Jerman itu gagal memperbaiki catatan yang dilakukannya selepas terjatuh ketika penghujung sesi kelayakan.

"Ketika saya berada di kumpulan yang besar, sukar buat saya untuk mendapat garisan perlumbaan yang baik dan saya terjatuh di penghujung sesi kelayakan," kata pelumba pasukan Honda Asia itu.

"Bagi perlumbaan esok (hari ini) saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk mendapatkan mata kejuaraan dan menghentikan nasib kurang baik yang saya peroleh sejak berada di Red Bull Ring.

"Ramalan cuaca berkata keadaan cuaca esok mungkin hujan, namun saya bersedia bagi sebarang keadaan," kata pelumba kelahiran Perak itu.

Situasi sama turut dihadapi pelumba pasukan Drive M7 SIC, Adam yang melakukan catatan masa 2'09.064s untuk memulakan perlumbaan di petak ke-21.

Ketika pelumba kelahiran Johor itu semakin mendapat keyakinan bersama jenteranya, keadaan trafik di penghujung sesi kelayakan memaksanya untuk berpuas hati dengan catatan itu.

"Kami mendapat sesi kelayakan yang lebih positif hari ini (Semalam). Saya fikir kami mampu mendapat kedudukan lebih baik namun pada saat-saat akhir, keadaan trafik terlalu sibuk dan kebanyakan pelumba mengurangkan kelajuan mereka.

"Jadi saya tidak boleh memperbaiki masa saya. Bagaimanapun, perasaan saya cukup baik mengenai perlumbaan esok (hari ini). Kelmarin kami agak kebelakang dan kini kami banyak meningkat. Ia adalah langkah yang betul bagi menuju ke arah yang baik.

"Saya merasa lebih selesa dengan jentera. Sasaran saya untuk esok ialah belajar, tidak melakukan kesalahan yang saya seperti saya lakukan sebelum ini ketika keadaan hujan, kekal tenang dan melakukan yang terbaik sehingga hujung perlumbaan."

Perlumbaan Moto3 GP Republik Czech dijadualkan pada jam 5.00 petang ini manakala Moto2 jam 6:20 petang.

Berita Harian X