Sabtu, 13 Ogos 2016 | 8:55pm

Kewangan KHM mantap, catat lebihan RM1.2 juta

PRESIDEN KHM, Datuk Seri Subahan Kamal pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan KHM ke-63, di Wisma OCM, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Owee Ah Chun
PRESIDEN KHM, Datuk Seri Subahan Kamal pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan KHM ke-63, di Wisma OCM, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mencatat lebihan kewangan sebanyak RM1.2 juta buat kali pertama sejak empat tahun lalu, kata presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal.

Beliau berkata, kedudukan kewangan badan induk hoki negara itu juga kembali mantap selepas berjaya melangsaikan hutang sebanyak RM2.7 juta ditanggung barisan kepimpinan baharu yang memulakan tugas pada 13 Mei 2015.

KHM juga turut memperuntukkan sejumlah RM1.28 juta kepada 16 ahli gabungan untuk menjalankan aktiviti di peringkat negeri dan akar umbi bagi pembangunan sukan hoki.

"Kita berjaya kurangkan perbelanjaan pengurusan walaupun dapat lebihan, sebaliknya ia diberi kepada pemain dan ahli gabungan. Jika dibandingkan dengan tahun 2014, setiap ahli gabungan hanya mendapat RM9,375 tetapi buat julung kalinya sekarang mereka mendapat RM80,000 sekarang.

"Elaun pemain juga dinaikkan iaitu elaun pemain lelaki meningkat sebanyak 133 peratus manakala untuk pemain wanita meningkat 400 peratus supaya mereka mendapat perhatian yang sama.

"Kita juga ada sistem baharu di mana semua hutang perlu dilangsaikan dalam masa sebulan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan KHM ke-63, di Wisma OCM di sini, hari ini.

Sementara itu, KHM akan memperkenalkan pertandingan kalah-mati bagi pasukan yang bertanding dalam TNB-Liga Hoki Malaysia 2016 untuk merebut Piala Tan Sri P Alagendra (lelaki) dan Piala Cabaran Vivian May Soars (wanita) yang menawarkan hadiah wang tunai RM70,000 kepada juara dan RM30,000 untuk naib juara.

Sebanyak enam pasukan Liga Premier dan lapan pasukan Divisyen Satu akan mencabar satu sama lain untuk Piala Tan Sri P Alagendra, dengan perlawanan akan diadakan pada setiap Selasa bermula 23 Ogos ini.

Piala Cabaran Vivian May Soars pula akan bermula selepas semua pasukan wanita melengkapkan saingan liga pada 17 September dengan empat pasukan teratas bersaing merebut kejuaraan itu.

Subahan berkata Lembaga Eksekutif KHM sebulat suara bersetuju untuk menamakan kejohanan itu atas nama Alagendra dan mendiang Vivian May yang sekian lama memberi sumbangan dan bakti kepada pembangunan hoki negara, baik sebagai pemain, jurulatih dan juga dalam pentadbiran.

Alagendra, bekas Timbalan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia, mewakili negara pada Sukan Olimpik 1956 di Melbourne sebelum menjadi jurulatih kebangsaan pada Sukan Olimpik 1964 di Tokyo.

"Saya gembira atas penghormatan ini. Secara peribadi, saya sedikit kecewa kerana Malaysia tidak layak ke Sukan Olimpik selepas Olimpik Sydney pada 2000.

"Saya harap barisan kepimpinan KHM dapat mengambil inisiatif dalam hal ini kerana harapan besar bagi setiap pemain muda adalah untuk mewakili negara ke Sukan Olimpik," kata Alagendra.

Mendiang Vivian yang meninggal dunia pada tahun 2009 akibat komplikasi jantung adalah pemain pada tahun 1940-an yang mewakili Selangor dan beberapa kelab sebelum menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan pada 1971.

Pada 1984, Vivian dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan Hoki Wanita Malaysia, selain aktif di peringkat Asia.

Berikut undian Piala Tan Sri P Alagendra:

Sapura lwn Nur Insafi

TNB lwn UiTM-KPT

Majlis Bandaraya Ipoh lwn ATM Airod

Sekolah Sukan Bukit Jalil lwn Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail

Politeknik Malaysia lwn TNB Thunderbolt

UniKL lwn Maybank

Nota: THT dan KLHC mendapat 'bye' ke suku akhir.

- BERNAMA

Berita Harian X