Rabu, 3 Ogos 2016 | 11:46pm

Kerajaan Perak arah MSN negeri buat rombakan

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya

IPOH: Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak diarah melakukan transformasi dan rombakan besar-besaran berikutan prestasi buruk kontinjen negeri berkenaan pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18, yang berakhir Ahad lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, rombakan serta transformasi itu perlu dibuat bagi memastikan Perak tidak mengulangi pencapaian terburuk sepertimana berlaku pada SUKMA kali ini.

"Saya berharap persatuan sukan negeri mengambil serius mengenai pencapaian teruk ini kerana saya sama sekali tidak menjangka perkara ini berlaku.

"Walaupun jumlah pingat keseluruhan besar, ia sekadar (banyak) perak dan gangsa, bukannya emas seperti kita harapkan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Kontinjen Perak menamatkan cabaran dalam SUKMA ke-18 di Sarawak pada kedudukan ke-12 dengan kutipan 12 pingat emas, berbanding sasaran awal 40 emas.

Walaupun kecewa dengan prestasi keseluruhan kontinjen negeri itu, Zambry bangga apabila Perak berjaya mempertahankan pingat emas acara bola sepak selepas menewaskan Wilayah Persekutuan 2-0 pada perlawanan akhir.

Mengenai persiapan Perak yang bakal menjadi tuan rumah SUKMA 2018, Zambry berkata segala persiapan awal terutama dalam menentukan lokasi acara telah dilakukan.

"Antara usaha dilakukan termasuk memastikan kolam renang dapat dibina semula memandangkan kemudahan itu terlalu uzur, manakala Stadium Hoki Sultan Azlan Shah serta Stadium Perak akan menjalani proses membaik pulih," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X