Isnin, 1 Ogos 2016 | 7:30pm
GAMBAR fail, Ketua Pasukan dan Jurulatih bersama Piala Kejohanan Liga Hoki TNB-Liga Hoki Malaysia Musim 2015 di sidang media di Hotel Olympic Sport. - Foto Hasriyasyah Sabudin
GAMBAR fail, Ketua Pasukan dan Jurulatih bersama Piala Kejohanan Liga Hoki TNB-Liga Hoki Malaysia Musim 2015 di sidang media di Hotel Olympic Sport. - Foto Hasriyasyah Sabudin

LHM: 'Thunderbolt' TNB guna pemain tempatan

KUALA LUMPUR: Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bakal turun dalam saingan Liga Premier kejohanan hoki TNB-Liga Hoki Malaysia musim ini, tanpa kudrat pemain import.

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman berkata beliau yakin walaupun tanpa kelibat pemain import, pasukan TNB bersedia memberi saingan sengit sepanjang kejohanan itu yang akan bermula 19 Ogos ini.

"TNB akan menjadi satu-satunya daripada enam pasukan dalam Liga Premier yang bakal beraksi tanpa pemain import.

"Walaupun ada cadangan kepada TNB untuk membawa masuk pemain import, ia sudah menjadi polisi kami sejak sekian lama untuk terus menyokong dan membangunkan bakat tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Roslan berkata usaha-usaha pembangunan TNB seperti Program 'Thunderbolt' dan Kem Bakat Hoki Remaja TNB telah mengenal pasti serta mencungkil beberapa pemain berbakat untuk diketengahkan.

Sejak penubuhan Liga Hoki Malaysia dari 1987, TNB telah merangkul kejuaraan liga sebanyak lima kali, Piala TNB tujuh kali dan kali terakhir memenanginya pada musim 2009/2010.

Skuad hoki TNB akan diketuai penjaga gol veteran kebangsaan, S Kumar di samping bekas pemain berpengalaman seperti Shahril Saabah serta bekas pemain remaja kebangsaan seperti Najib Hassan, Ramadan Rosli, Azril Misron dan Nik Muhamad Aiman Nik Rozemi.

"Bekas pemain kebangsaan, Mohamed Amin Rahim pula dilantik sebagai Ketua Jurulatih TNB dan dibantu M.Kaliswaran," katanya.

Skuad TNB akan menentang Maybank dalam perlawanan pertama Liga Premier di Stadium Hoki Kuala Lumpur pada 19 Ogos ini. - BERNAMA

Berita Harian X