Jumaat, 22 Julai 2016 | 10:54pm

Sarawak juara keseluruhan taekwondo SUKMA

ATLET taekwondo Sarawak meraikan kemenangan sebagai juara keseluruhan pada hari terakhir acara pertandingan SUKMA 2016 di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
ATLET taekwondo Sarawak meraikan kemenangan sebagai juara keseluruhan pada hari terakhir acara pertandingan SUKMA 2016 di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUCHING: Tuan rumah Sarawak muncul juara keseluruhan taekwondo temasya Sukan Malaysia (SUKMA) selepas menambah dua lagi pingat emas pada hari terakhir sukan itu menerusi acara kyorugi, hari ini.

Skuad Bumi Kenyalang itu meraih lapan pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa daripada 19 emas yang dipertandingkan sepanjang empat hari kejohanan untuk merampas kejuaraan daripada Wilayah Persekutuan di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini.

Rebecca John Nedek meraih emas pertama buat tuan rumah selepas menewaskan Nur Ili Athirah Shaharuddin dari Terengganu dengan meraih mata pertama dalam pusingan penentuan, selepas kedua-duanya terikat 6-6 sesudah tiga pusingan dalam aksi final kategori flyweight (46-49 kilogram (kg) wanita.

Emas kedua pula disumbangkan S Monica Sharma selepas menundukkan pencabar negeri jiran, Sabah, Christina Clara 11-5 dalam kategori finweight (bawah 46kg) wanita.

Sarawak menyapu bersih tiga emas acara Poomsae pada Selasa, sebelum menggandakannya apabila acara kyorugi bermula pada hari kedua tetapi gagal meraih sebarang emas semalam.

Wilayah Persekutuan, yang juga juara taekwondo SUKMA 2014 di Perlis, terpaksa akur di tempat kedua selepas meraih lima emas dan empat perak.

Pingat emas tunggal pasukan itu hari ini disumbangkan Muhammad Danial Mohd Azri, yang mempertahankan pingat emasnya dalam kategori finweight (bawah 54kg) lelaki selepas menewaskan Muhammad Faiz Mohd Rozi dari Pahang.

Tempat ketiga keseluruhan acara taekwondo menjadi milik Terengganu yang mengutip dua emas, satu perak dan lima gangsa.

Perlis pula berjaya meraih pingat emas pertamanya hari ini apabila Muhammad Sukri Omar Sidek menewaskan Muhammad Haziq Arisi dalam kategori flyweight (54-58kg) lelaki.

Sementara itu, kontinjen Selangor, Johor dan Kedah turut menamatkan cabaran mereka dengan masing-masing meraih satu emas bagi acara taekwondo. - BERNAMA

Berita Harian X