Ahad, 17 Julai 2016 | 1:16pm
PELUMBA Moto2 tunggal negara, Hafizh Syahrin Abdullah. - Foto Goh Thean Howe
PELUMBA Moto2 tunggal negara, Hafizh Syahrin Abdullah. - Foto Goh Thean Howe

Positif buat Hafizh, Khairul Idham, Adam bergelut

KUALA LUMPUR: Ketika dua penunggang Moto3 negara bergelut di sesi kelayakan Grand Prix (GP) Jerman, semalam pelumba Moto2 tunggal negara, Hafizh Syahrin Abdullah tampil dengan prestasi lebih memberangsangkan.

Hafizh yang berlumba bersama pasukan PETRONAS Raceline Malaysia mencatatkan masa ke-11 terpantas sekali gus akan memulakan perlumbaan di barisan keempat bersama pelumba Britain dan Sam Lowes serta Thomas Luthi yang ketika ini menduduki tangga ketiga dan keempat keseluruhan pelumba Moto2.

Malah catatan masa yang dilakukan pelumba berusia 22 tahun itu, 1 minit 25.004 saat hanya ketinggalan 0.730 saat di belakang pelumba petak utama, Takaaki Nakagami dari Jepun.

Begitupun, prestasi yang diharapkan kepada dua penunggang Moto3 negara, Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin tidak kesampaian apabila kedua-duanya sekadar mencatat masa ke-20 dan 26 terpantas ketika sesi kelayakan yang turut terganggu, semalam.

Mengakui keadaan jentera berada dalam keadaan baik pada sesi ujian ketiga dan di awal kelayakan, Adam yang berlumba bersama pasukan Drive M7 SIC Racing mengakui situasi yang berlaku pada pertengahan sesi merencatkan perancangannya.

"Permulaan sesi kelayakan berjalan dengan baik namun selepas itu bendera merah dikibarkan kerana berlaku tumpahan minyak di atas litar," kata pelumba kelahiran Johor itu yang sekadar melakukan catatan 1 minit 28.698 saat.

"Apabila sesi dimulakan semula, saya merasa sedikit berbeza dengan jentera dan bergelut untuk mengekalkan rentak. Cengkaman saya tidak lagi sama dan seperti ada sesuatu yang hilang.

"Saya kecewa kerana tidak dapat melakukan peningkatan pada sesi kedua kelayakan kerana harapan saya tinggi pada hari ini (semalam). Bermula di petak ke-16 tidak baik bagi perlumbaan jadi saya tahu saya perlu melakukan permulaan yang baik."

Khairul Idham yang berlumba bersama pasukan Honda Asia dan melakar sejarah menjuarai perlumbaan Moto3 di GP Argentina, April lalu pula sekadar melakukan masa 1 minit 28.397 saat.

Pelumba Itali, Enea Bastianini yang menunggang jentera Honda mengungguli sesi kelayakan Moto3 dengan catatan 1 minit 27.129 saat.

Berita Harian X