Sabtu, 16 Julai 2016 | 8:30pm

YAKEB turun padang cari bekas atlit

MUAR: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) akan mengadakan siri jelajah di seluruh negara bagi mengesan bekas atlet yang masih belum berdaftar dengan yayasan terbabit.

Pengerusi YAKEB, Datuk Malek Noor, berkata ini kerana pihaknya mendapati masih ramai bekas atlet negara belum berdaftar dengan yayasan terbabit sehingga boleh menyukarkan usaha untuk membantu menjaga kebajikan mereka pada masa depan.

Katanya, sehingga kini hanya kira-kira 3,000 bekas atlet negara dalam pelbagai jenis sukan yang berdaftar dengan YAKEB sedangkan jumlah sebenar jauh lebih ramai.

"Menerusi program turun padang ini, YAKEB akan cuba mengesan bekas atlet di seluruh negara. Kita percaya, jumlah mereka adalah ramai kerana hampir setiap tahun akan ada atlet negara yang akan bersara.

"Kegagalan bekas atlet ini berdaftar hanya akan menyebabkan pihak YAKEB sukar untuk kita mengambil tahu dan menjaga kebajikan mereka disebabkan ketiadaan data dalam rekod yayasan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Raya UMNO Bahagian Muar di Bangunan UMNO Bahagian Muar di sini, petang tadi.

Turut hadir, Pengurus Besar YAKEB, Zuhairi Abdul Manaf dan Pengurus Operasi YAKEB, Aminuddin Mohd Nasir.

Malek yang juga bekas atlet bina badan negara berkata, selain daripada program jelajah dan turun padang ini, pihaknya turut meminta waris bekas atlet untuk turut bekerjasama membantu YAKEB untuk mengesan mereka.

Berita Harian X