Jumaat, 15 Julai 2016 | 7:35pm
PENGURUS Besar LPNS, Baharudin Jali (kanan) menerima penajaan bagi Perlumbaan Double Trouble Xtrail Duathlon 2016. - Foto Mohd Amin Jalil
PENGURUS Besar LPNS, Baharudin Jali (kanan) menerima penajaan bagi Perlumbaan Double Trouble Xtrail Duathlon 2016. - Foto Mohd Amin Jalil

Cabaran Xtrail Duathlon 2016 PD gamit 500 peserta

SEREMBAN: Perlumbaan Double Trouble Xtrail Duathlon 2016 anjuran Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) bakal menjanjikan saingan sengit kerana membabitkan penyertaan atlet luar negara.

Acara bertaraf antarabangsa yang akan berlangsung di Hutan Simpan Sungai Menyala Port Dickson pada 24 Julai ini akan disertai 500 peserta termasuk 50 dari luar negara antaranya United Kingdom, Filipina, Kenya, Peranchis, India, Singapura dan Indonesia.

Pengurus Besar LPNS, Baharudin Jali, berkata sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu kategori individu dan berpasukan lelaki dan wanita termasuk peringkat senior dan veteran.

Katanya, acara itu yang membabitkan perlumbaan berlari dan berbasikal sejauh 40 kilometer, adalah julung kali diadakan bertujuan menarik perhatian pengunjung terutama dari luar negara selain memperbanyakkan lagi aktiviti sukan lasak.

"Peserta akan berdepan pelbagai cabaran kerana 100 peratus trek perlumbaan membabitkan kawasan hutan dan paya selain perkampungan Orang Asli.

"Tambahan pula, Hutan Simpan Sungai Menyala terkenal antara kawasan paya bakau terbesar di negara ini dan saya yakin peserta bakal berhadapan cabaran getir bagi memburu kejuaraan," katanya pada sidang media dan majlis penyerahan penajaan di pejabat LPN.

Menurutnya, hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM32,000 ditawarkan kepada pemenang termasuk RM9,000 cabutan bertuah.

Katanya, juara kategori individu bakal membawa pulang trofi dan wang tunai RM1,000 manakala kategori berpasukan meraih RM1,600.

"Kita merancang untuk menganjurkan perlumbaan ini sebagai acara tahunan mulai tahun depan jika mendapat sambutan baik daripada peserta," katanya.

Berita Harian X