Selasa, 12 Julai 2016 | 2:26pm

Peluang Bolt pahat sejarah di Olimpik

Usain Bolt.
Usain Bolt.

KINGSTON, Jamaica: Usain Bolt berpeluang untuk memahat namanya selaku legenda trek dan balapan di pentas Olimpik selepas namanya disenarai dalam 59 atlet Jamaica yang beraksi pada temasya Rio, Brazil bulan depan.

Bolt yang menarik diri daripada beraksi di final 100 meter (m) dan memohon pengecualian ujian perubatan daripada acara 200 meter di Ujian Olimpik Jamaica, dua minggu lalu dinamakan dalam senarai sementara yang diserahkan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi acara 100meter/200meter dan 4x100 meter di Rio.

Bintang itu berusaha untuk menjadi lelaki pertama memenangi tiga emas dalam tiga acara di Olimpik berturut-turut selepas memenanginya di Beijing, China pada 2008 dan London pada 2012.

Pengumuman itu dibuat, tengahari semalam dalam satu sidang media yang dianjurkan Persatuan Olimpik Jamaica di Kingston di mana kesemua ahli dalam pasukan Olimpik diumumkan.

Undang-undang pemilihan Persatuan Pentadbiran Olahraga Jamaica (JAAA) membenarkan atlet yang berada di ranking tiga teratas dunia untuk menghantar pengecualian ujian perubatan dan terlepas ujian namun mereka perlu membuktikan kecergasan mereka pada tarikh selepas dinamakan dalam pasukan Olimpik.

Bolt berdepan kecederaan gred satu hamstring pada hari pertama Kejuaraan Kebangsaan yang berlangsung selama empat hari dan sekali pun berlumba di separuh akhir 100 meter, dia menarik diri sejam sebelum perlumbaan final berlangsung.

Dia kemudian menghantar permohonan pengecualian perubatan bagi keseluruhan kejuaraan, termasuk pada acara 200 meter.

Atlet berusia 29 tahun itu kemudian pergi ke Eropah untuk menemui pakar yang juga doktor sukan terkemuka dunia, Hans-Wilhelm Muller-Wohlfahrt sebelum memaparkan gambarnya berlatih seminggu kemudian.

Masa terbaik Bolt dalam acara 100 meter tahun ini ialah 9.88 saat namun dia masih belum berlumba secara kompetitif dalam acara 200 meter. - AFP

Berita Harian X