Jumaat, 24 Jun 2016 | 7:18pm

Jurulatih Ukraine letak jawatan

JURULATIH Ukraine, Mykhailo Fomenko. - Foto EPA
JURULATIH Ukraine, Mykhailo Fomenko. - Foto EPA

KIEV, Ukraine: Jurulatih Ukraine, Mykhailo Fomenko menerima sepenuhnya tanggungjawab selepas kegagalan mereka di Euro 2016 apabila secara rasmi meletakkan jawatannya, kelmarin.

Anak buah Fomenko menamatkan saingan Kumpulan C di tangga tercorot tanpa sebarang mata selain gagal menjaringkan satu pun gol dalam tiga perlawanan yang diharungi.

Mereka tewas 2-0 kepada Jerman pada perlawanan pembukaan dan kemudian dikalahkan Ireland Utara dengan keputusan sama, sebelum kempen mereka berakhir dengan tewas 1-0 di tangan Poland.

"Saya mempunyai dua alasan utama atas kegagalan ini. Yang pertama, kami tidak bersatu sebagai sebuah pasukan," kata Fomenko.

"Kedua, sesetengah pemain tidak bersedia daripada sudut psikologi. Apapun, saya mahu tegaskan yang saya sememangnya tidak menyalahkan mana-mana pemain. Semuanya tanggungjawab itu harus diletakkan kepada saya.

"Saya tidak menemui cara untuk membaca pemikiran mereka. Mungkin mereka tidak sedar sepenuhnya mengenai skop kejohanan ini. Saya seharusnya melakukan lebih banyak perbincangan secara individu dengan mereka."

Selasa lalu, Fomenko berkata, perlawanan bertemu Poland adalah yang terakhir buat dirinya memegang jawatan jurulatih.

"Tidak ada lagi kepentingan untuk bersama selepas kami gagal mencapai sasaran kami di Euro,"katanya kelmarin. "Saya mengambil penuh tanggungjawab atas keputusan buruk ini.

"Saya ingin meminta maaf kepada penyokong Ukraine kerana saya tidak mampu memenuhi harapan diletakkan mereka."

Bekas penyerang dan pembantu jurulatih, Andriy Shevchenko digembar gemburkan media sebagai pengganti Fomenko. - REUTERS

Berita Harian X