X
Jumaat, 10 Jun 2016 | 6:27pm

Hormati keputusan atlet pecut ke SUKMA - Nazmizan

BEKAS raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad. - Foto Aswadi Alias
BEKAS raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad. - Foto Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad memohon agar keputusan dua pelari pecut muda, Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisyam Abdul Manap memilih menyertai Sukan Malaysia (SUKMA), Sarawak berbanding Kejohanan Remaja Dunia di Bydgoszcz, Poland, Julai ini tidak terus dijadikan isu.

Selain itu katanya prinsip kejurulatihan yang sudah dirangka sekian lama juga tidak patut diketepikan serta menghormati keputusan yang dibuat oleh pengendali atlet terbabit, Mohd Poad Md Kassim.

"Usahlah kita mencampuri atau menjadikan hal ini sesuatu isu yang besar, sebaliknya kita sama-sama doakan semoga sesuatu akan berlaku di SUKMA, ...mungkin rekod akan dipecahkan.

"Kita sudah mempunyai pelapis yang berkualiti, jangan disebabkan sikap tamak kita untuk mengisi kejayaan di peringkat antarabangsa kita mengenepikan prinsip kejurulatihan yang dirangka sekian lama. Juga fikirkan atlet itu sendiri yang awal-awal menetapkan minda bersaing di pentas SUKMA...hormati keputusan mereka," katanya menerusi laman Facebook, hari ini.

Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu turut menegaskan bahawa keputusan diambil oleh jurulatih pecut Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Mohd Poad adalah berbentuk pelan jangka masa panjang.

"Cikgu Poad berkeras mahukan atletnya berlari di SUKMA kerana jika dalam pengurusan, kita mempunyai pengurusan projek yang mana tarikh akhir projek ditetapkan dan fasa kerja diatur untuk menyiapkan projek sepenuhnya. Begitu juga dalam sukan, tetapi termanya dipanggil periodisasi atau periodization.

"Untuk kejurulatihan sukan, matlamat akhir periodisasi (projek) ialah kejohanan tertentu yang disasarkan untuk atlet mencapai sasaran atau target yang ditetapkan, manakala latihan disusun mengikut fasa untuk mencapai matlamat akhir.

"Dalam konteks Khairul Hafiz dan Badrul Hisyam, jurulatihnya Cikgu Poad menetapkan SUKMA dan Remaja Asia (Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-17 di Ho Chi Minh City, Vietnam) sebagai tarikh akhir dan kemuncak prestasi kedua-dua atlet terbabit.

"Kejohanan Remaja Dunia tiada dalam kalendar latihan dan untuk mengubahnya di saat akhir akan mengganggu konsentrasi dan perancangan kejurulatihan," katanya.

Untuk rekod, Khairul Hafiz dan Badrul Hisyam menempah tiket acara 100m ke Poland tahun lalu di Kejohanan Olahraga Terbuka UniMAP Kali Ke-4, Oktober 2015 masing masing dengan catatan 10.53s dan 10.50s selepas melepasi had kelayakan ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), 10.55s.

Kedua-dua atlet muda itu turut mengesahkan slot acara 200m ke kejohanan sama di Terbuka Filipina, April lalu.

Berita Harian X