Selasa, 7 Jun 2016 | 12:56pm

Copa America: Argentina atasi Chile 2-1

PENYERANG Argentina, Gonzalo Higuain (9) meraikan selepas gol Argentina terhadap penjaga gol Chile Claudio Bravo (1) pada separuh kedua semasa peringkat kumpulan Copa Amerika 2016 di Stadium Centenario. - Foto USA Today

SANTA CLARA, Amerika Syarikat: Argentina tampak tidak begitu bermasalah beraksi tanpa kapten pasukan, Lionel Messi ketika menewaskan Chile 2-1 pada perlawanan pembukaan Copa America, sebentar tadi.

Terikat tanpa jaringan pada babak pertama perlawanan, bintang tengah, Angel Di Maria menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-51 sebelum Ever Banega meledak gol kedua dan kemenangan, lapan minit kemudian.

Gol sagu hati Chile dijaringkan Jose Pedro Fuenzalida pada masa kecederaan.

Perlawanan menemukan Argentina dan Chile itu bagaikan mengulangi pentas final Copa America tahun lalu yang dimenangi Chile menerusi penentuan penalti.

Begitupun, pertembungan itu bukan saja berlangsung sengit, namun panas menyaksikan pengadil terpaksa melayangkan lima kad kuning.

Antara yang menerima kad kuning termasuklah Di Maria dan Gary Medel pada minit ke-65 dengan perbalahan kedua-duanya hampir mencetuskan pergaduhan. - AP

Berita Harian X