Sabtu, 4 Jun 2016 | 8:10am

Ukraine atasi Albania 3-1

BERGAMO (Itali): Pendatang baharu Euro 2016, Albania tewas 1-3 kepada Ukraine dalam aksi persahabatan terakhir menjelang saingan Eropah itu, awal pagi tadi.

Albania berjaya menyamakan kedudukan dengan pantas selepas ketinggalan namun melepaskan gol pada awal babak kedua dan Ukraine yang juga akan beraksi di pentas Euro 2016 melengkapkan kemenangan ketika perlawanan berbaki dua minit lagi.

Penyokong Albania yang memenuhi separuh daripada Stadium Bergamo yang menjadi tempat latihan pasukan itu sebelum ke Perancis, terdiam seketika sebaik Ukraine melengkapkan kemenangan keempat mereka dalam empat aksi pemanas badan.

Pemain tengah Ukraine, Yevhen Konoplyanka mencipta peluang bagi membolehkan rakan sepasukannya, Taras Stepanenko membuka tirai jaringan dalam perlawanan itu tetapi Albania kembali menyamakan kedudukan dalam tempoh empat minit menerusi jaringan Andriy Pyatov.

Andriy Yarmolenko menanduk masuk hantaran lintang Roman Zozuyla pada awal babak kedua dan Konoplyanka menghukum kesilapan pemain pertahanan Albania, Ansi Agolli apabila menjaringkan gol ketiga Ukraine.

Albania akan membuka tirai saingan Euro 2016 menentang Switzerland pada 11 Jun ini manakala Ukraine bertemu Jerman sehari kemudian. - AP

ANDRIY Yarmolenko (gambar perlawanan ketika menentang Romania pada 29 Mei) adalah tonggak pasukan Ukraine. - Foto AFP
ANDRIY Yarmolenko (gambar perlawanan ketika menentang Romania pada 29 Mei) adalah tonggak pasukan Ukraine. - Foto AFP

Berita Harian X