Sabtu, 4 Jun 2016 | 1:26am

Arif mara ke separuh akhir Cabaran Antarabangsa Vietnam

KUALA LUMPUR: Mohamad Arif Abdul Latif menjadi wakil tunggal negara di separuh akhir perseorangan lelaki Cabaran Antarabangsa Vietnam, selepas Chong Wei Feng ditunjukkan jalan keluar di suku akhir, malam tadi.

Mohamad Arif mara selepas menundukkan pemain India, Subhankar Dey 21-15, 22-20, untuk menempah pertemuan dengan pilihan kedua kejohanan, Wang Tzu Wei dari Taiwan, hari ini.

PEMAIN perseorangan negara, Mohamad Arif Abdul Latif.
PEMAIN perseorangan negara, Mohamad Arif Abdul Latif.

Wei Feng, yang juga pemain pilihan keempat kejohanan, gagal menyinar apabila tewas Hashiru Shimono dari Jepun 21-23, 17-2.

Turut layak ke separuh akhir adalah beregu simpanan negara sewaktu Piala Thomas bulan lalu, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi serta beregu wanita Amelia Alicia Anscelly-Teoh Mei Xing.

Ong-Teo menundukkan pilihan keempat, Takuto Inoue-Yuki Kaneko dari Jepun, 21-17, 21-10, untuk menempah pertemuan dengan Liao Kuan Hao-Lu Chia Pin dari Taiwan di separuh akhir.

Namun, satu lagi beregu lelaki, Hoon Thien How-Teo Kok Siang tewas kepada Kenya Mitsuhashi/Yuta Watanabe 21-16, 19-21 14-21.

Amelia-Teoh pula beraksi cemerlang walaupun terpaksa bertungkus lumus mengalahkan pasangan Singapura, Elaine Chua Yi Ling-Citra Dewi Sari 21-18, 18-21, 21-16.

Di separuh akhir, mereka akan menentang pasangan Jepun, Shiho Tanaka-Koharu Yonemoto, yang juga pilihan kedua. - BERNAMA

Berita Harian X