Khamis, 2 Jun 2016 | 12:11am

Presiden IOC lawat Brazil periksa gelanggang

 THOMAS Bach. - Foto EPA
THOMAS Bach. - Foto EPA

LAUSANNE: Presiden Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach akan berada di Brazil selama tiga hari bagi meninjau sendiri persiapan Rio selain bertemu dengan Presiden Michel Temer.

IOC dalam kenyataannya berkata, Bach akan melawat Brazil mulai 14 hingga 16 Jun menjelang pembukaan rasmi temasya di Amerika Selatan yang dijadual pada 5 Ogos depan.

Sepanjang di sana, Bach akan meninjau kemudahan Olimpik di Rio selama dua hari selaras dengan 'Projek Rebiu IOC' dalam persiapan menganjurkan temasya berkenaan.

Olimpik Rio sebelum ini banyak berdepan masalah pemotongan bajet, ancaman virus Zika, kelewatan menyiapkan velodrom selain pergolakan politik dan kemelesetan ekonomi.

Bach kemudian dijadualkan ke Brasilia untuk bertemu Presiden Baharu Brazil, Temer, yang menggantikan Dilma Rousseff selepas bekas Presiden itu dipecat.

Kunjungan Bach ke Brazil itu diatur khusus untuk memberi sokongan kepada kerajaan negara itu menjayakan temasya terbesar dunia itu.

Dalam pada itu, Presiden Jawatankuasa Penganjur Rio, Carlos Nuzman akan membentangkan laporan akhir persiapan Rio di Lausanne hari ini manakala Datuk Bandar Rio, Eduardo Paes akan memberikan laporan menerusi sidang video.

Sebelum ini, IOC sudah menghantar sekumpulan pakar mereka untuk bekerjasama dengan Rio termasuk Gilbert Felli yang sudah berada di Rio sejak dua tahun lalu. - Agensi

Berita Harian X