Sabtu, 21 Mei 2016 | 6:05pm

China julang Piala Uber buat kali ke-14

PEMAIN China, Li Xuerui. - Foto BERNAMA
PEMAIN China, Li Xuerui. - Foto BERNAMA

KUNSHAN: China merekodkan gelaran ketiga berturut-turut dan kali ke-14 keseluruhan dalam saingan Piala Uber selepas menewaskan Korea Selatan 3-1 dalam aksi final, sebentar tadi.

Kejayaan itu menyaksikan skuad wanita China mengubati kekecewaan yang dialami barisan pemain lelaki apabila tersingkir di suku akhir Piala Thomas selepas tewas kepada Korea, 1-3.

Mata kemenangan China disumbangkan menerusi beregu kedua, Chen Qingchen-Tan Yuanting yang mengetepikan cabaran Chang Ye Na-Lee So Hee 21-14, 21-16 sekali gus menceriakan kembali penyokong tuan rumah susulan aksi hambar ditunjukkan pemain lelaki.

Terdahulu, China mendahului 1-0 hasil kemenangan diraih juara Olimpik 2012, Li Xuerui yang menewaskan Sung Ji Hyun 14-21, 21-13, 21-10.

Namun, beregu pertama China, Tian Qing-Zhao Yunlei gagal mengukuhkan kedudukan buat pasukan itu apabila tewas kepada Jung Kyung Eun-Shin Seung Chan 21-16, 17-21, 23-25.

Bagaimanapun, pemain perseorangan kedua, Wang Shixian kembali meletakkan negara Tembok Besar itu di depan apabila mengatasi Kim Hyo Min 21-13, 21-12.

China membuktikan dominasi mereka dalam saingan wanita apabila Qingchen-Yuanting memastikan kemenangan mutlak menjadi milik mereka dengan menewaskan Ye Na-So Hee.

Untuk saingan Piala Thomas, Indonesia akan membuat perhitungan dengan Denmark dalam aksi final jam 1 tengahari esok.

Berita Harian X