Sabtu, 21 Mei 2016 | 9:07am

Bendera Catalan dibenar berkibar di final Piala Raja Sepanyol

BENDERA Catalan dikibar penyokong Barcelona. - Foto REUTERS
BENDERA Catalan dikibar penyokong Barcelona. - Foto REUTERS

MADRID: Mahkamah Sepanyol semalam menolak pengharaman kontroversi pengibaran bendera Catalan oleh peminat Barcelona ketika final Piala Raja Sepanyol menentang Sevilla di Madrid, awal pagi ini.

Pihak berkuasa Madrid memberitahu Barcelona pada Rabu lalu yang bendera kemerdekaan Estelada tidak boleh dikibarkan di Stadium Vicente Calderon, laman kepada kelab Atletico Madrid kerana ia melanggar undang-undang yang dibuat pada 2007.

Perundangan membenarkan larangan terhadap bendera atau simbol yang mampu 'mencetuskan keganasan' atau 'menunjukkan penghinaan terhadap peserta dalam acara sukan.'

Begitupun, hakim pada Jumaat memutuskan "tiada kes untuk dibuktikan" yang mengatakan kehadiran bendera itu mampu "Mencetus keganasan, perkauman, xenofobia atau sebarang bentuk diskriminasi yang dianggap penghinaan kepada maruah manusia."

Barcelona menyatakan mereka menerima baik keputusan mahkamah itu untuk membenarkan bendera Estelada dikibarkan.

"Kelab meraikan keputusan mahkamah itu yang akan membenarkan kebebasan bersuara terhadap simbol dan kain rentang yang tidak menyalahi undang-undang daripada ahli dan penyokong mereka," kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Kelab itu sudah menjadi saluran bagi Catalan yang memihak kepada kemerdekaan di rantau timur laut yang kaya itu untuk meluahkan kepercayaan mereka.

Kontroversi mengenai pengharaman bendera itu mendominasi muka-muka depan akhbar di Sepanyol kurang lima minggu sebelum pilihan raya umum berlangsung di Sepanyol. - AFP

Berita Harian X