Rabu, 18 Mei 2016 | 1:00pm

Skuad wanita ubati kecewa atasi Sepanyol

PEMAIN perseorangan wanita pertama negara, Goh Jin Wei membalas hantaran lawannya dari Sepanyol, Marin Carolina pada kejohanan Piala Uber di Pusat Sukan Kunshan, Rabu. Jin Wei gagal memungut mata untuk Skuad Piala Uber negara dikalahkan dengan mata 18-21, 22-20 dan 16-21. - Foto BERNAMA
PEMAIN perseorangan wanita pertama negara, Goh Jin Wei membalas hantaran lawannya dari Sepanyol, Marin Carolina pada kejohanan Piala Uber di Pusat Sukan Kunshan, Rabu. Jin Wei gagal memungut mata untuk Skuad Piala Uber negara dikalahkan dengan mata 18-21, 22-20 dan 16-21. - Foto BERNAMA

KUNSHAN: Skuad wanita negara mengakhiri saingan Piala Uber di tempat ketiga Kumpulan A selepas menewaskan Sepanyol 3-2 dalam aksi terakhir, sebentar tadi.

Selepas gagal melayakkan diri ke suku akhir susulan kekalahan di tangan China dan Denmark dalam dua pertemuan awal, aksi bertemu Sepanyol sekadar pelengkap jadual yang menyaksikan Malaysia menurunkan hampir ke semua pemain muda.

Juara remaja dunia 2015, Goh Jin Wei diberi peranan menggalas tugas sebagai perseorangan pertama dan prestasinya tidak mengecewakan apabila hampir mengatasi pemain nombor satu dunia, Carolina Marin sebelum tewas 18-21, 22-20, 16-21.

"Saya turun beraksi hari ini tanpa sebarang tekanan biarpun Marin pemain nombor satu dunia. Sebaliknya dia yang tertekan... saya hanya bermain dengan corak permainan saya.

"Agak kecewa sebab saya hampir boleh memenangi perlawanan dengan Marin. Apa pun, masih ada jurang yang besar antara saya dengan dia," kata Jin Wei.

Sepanyol melebarkan kedudukan kepada 2-0 selepas Beatriz Corrales menewaskan pemain negara, Ho Yen Mei 21-13, 21-9 sebelum Sonia Cheah merapatkan jurang hasil kemenangannya ke atas Clara Azumendi 21-14, 21-18.

Dua lagi mata skuad negara diraih menerusi pasangan beregu, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Amelia Alicia-Woon Khe Wei.

Mei Kuan-Meng Yean menang ke atas Corrales-Lorena Usle 21-12, 21-7 manakala Amelia-Khe Wei mengatasi Azurmendi-Laia Oset 21-12, 21-13.

Berita Harian X