Isnin, 16 Mei 2016 | 9:44pm

Three Lions pilih Rashford ke Euro 2016

PAPARAN di skrin Stadium Wembley menunjukkan nama dan wajah Marcus Rashford selepas pengumuman skuad kebangsaan England ke Euro 2016, hari ini. - Foto AFP
PAPARAN di skrin Stadium Wembley menunjukkan nama dan wajah Marcus Rashford selepas pengumuman skuad kebangsaan England ke Euro 2016, hari ini. - Foto AFP

LONDON: Pemain remaja sensasi Manchester United, Marcus Rashford dan pemain sayap Newcastle United, Andros Townsend berada dalam senarai awal 26 pemain skuad England bagi menghadapi kempen Euro 2016.

Rashford, 18, yang tidak pernah bermain bersama England sebelum ini, tersenarai selepas berjaya menampilkan prestasi cemerlang bersama United musim ini dengan meledak tujuh gol dalam 16 perlawanan.

Townsend yang pernah beraksi 10 kali bersama England pula menampilkan prestasi baik bersama Newcastle sejak perpindahannya dari Tottenham, Januari lalu.

Turut tersenarai ialah pemain Arsenal, Jack Wilshere dan kapten Liverpool, Jordan Henderson, sekali pun kedua-dua banyak menghabiskan masa di bangku simpanan disebabkan kecederaan namun satu lagi bintang Gunners, Theo Walcott tidak disenaraikan.

Mengulas penyenaraian Rashford, pengurus England, Roy Hodgson berkata: "Dia layak untuk disenaraikan. Pasti menarik untuk melihat apa yang boleh dia lakukan, sekali pun dia hanya mempunyai tempoh seminggu (ketika latihan) sebelum penamaan terakhir 23 pemain.

"Tiada sebarang alasan mengapa dia tidak boleh menewaskan orang lain dan mendapat tempat dalam skuad terakhir. Namun ia pasti sukar buat sesetengah orang untuk menerimanya."

Hodgson perlu mengurangkan skuadnya kepada 23 pemain bagi kejohanan di Perancis yang menyaksikan England diundi bersama Slovakia, Russia dan Wales dalam Kumpulan B.

Seorang lagi pemain berprofil tinggi yang tidak tersenarai ialah pemain Everton, Phil Jagielka yang bergelut dengan prestasi semasa dengan antara yang turut disenaraikan pula ialah pemain tengah Manchester City, Fabian Delph.

Pemain tengah United, Michael Carrick, pertahanan kiri Everton, Leighton Baines dan penyerang Sunderland, Jermain Defoe juga tidak disenaraikan dengan juara Inggeris yang baru, Leicester City memiliki dua wakil iaitu Danny Drinkwater dan penyerang, Jamie Vardy.

Senarai awal 26 pemain skuad England

Penjaga gol: Fraser Forster (Southampton), Joe Hart (Manchester City), Tom Heaton (Burnley)

Pertahanan: Ryan Bertrand (Southampton), Gary Cahill (Chelsea), Nathaniel Clyne (Liverpool), Danny Rose (Tottenham Hotspur), Chris Smalling (Manchester United), John Stones (Everton), Kyle Walker (Tottenham Hotspur)

Tengah: Dele Alli (Tottenham Hotspur), Ross Barkley (Everton), Fabian Delph (Manchester City), Eric Dier (Tottenham Hotspur), Danny Drinkwater (Leicester City), Jordan Henderson (Liverpool), Adam Lallana (Liverpool), James Milner (Liverpool), Raheem Sterling (Manchester City), Andros Townsend (Newcastle United), Jack Wilshere (Arsenal)

Penyerang: Harry Kane (Tottenham Hotspur), Marcus Rashford (Manchester United), Wayne Rooney (Manchester United, capt), Daniel Sturridge (Liverpool), Jamie Vardy (Leicester City)

Berita Harian X