BARCELONA: Lewis Hamilton kembali merangkul petak utama selepas tiga perlumbaan apabila mengatasi rakan sepasukannya dari pasukan Mercedes AMG PETRONAS, Nico Rosberg pada aksi kelayakan cukup mendebarkan di Grand Prix (GP) Sepanyol, sebentar tadi.
Juara bertahan yang juga juara dunia tiga kali perlumbaan elit Formula Satu (F1) itu ketika ini ketinggalan 43 mata di belakang Rosberg yang mencatat masa terpantas pada ketiga-tiga sesi kelayakan di Sepanyol.
Pelumba kelahiran Britain itu menamatkan sesi kelayakan dengan catatan terbaik, 1 minit 22 saat (s), 0.280s di depan Rosberg yang turut menyaksikan pelumba muda, Max Verstappen mencuri tumpuan.
Pelumba yang baru dinaikkan pangkat daripada berlumba bersama pasukan Toro Rosso ke Red Bull itu mengakhiri sesi kelayakan di kedudukan keempat terpantas.
Malah pada satu ketika, pelumba dari Belanda berusia 18 tahun itu berada di kedudukan kedua terpantas ketika sesi kelayakan sedang berjalan dengan rakan sepasukannya, Daniel Ricciardo berjaya mengatasi masa diciptanya untuk berada di petak ketiga.
Keputusan itu menyaksikan kedua-dua jentera Red Bull akan memulakan perlumbaan beriringan seperti Mercedes dengan kedua-dua pelumba Ferrari, Finn Kimi Raikkonen dan Sebastian Vettel mencatat masa kelima dan keenam terpantas.
Pelumba Finland, Valtteri Bottas pula mencatat masa ketujuh terpantas bersama pasukan Williams diikuti pelumba Toro Rosso, Carlos Sainz .
Pelumba Force India, Sergio Perez mencatat masa kesembilan terpantas di depan pelumba tuan rumah yang juga juara dua kali, Fernando Alonso (McLaren Honda), kesepuluh.
Kejayaan petak pertama di Barcelona adalah yang ketiga buat Hamilton tahun ini dan yang ke-52 sepanjang kerjayanya. - AFP
Kedudukan sesi kelayakan GP Sepanyol
1. Lewis Hamilton (GBR) Mercedes 1 minit (m) 22.000 saat (s)
2. Nico Rosberg (GER) Mercedes 1m 22.280s
3. Daniel Ricciardo (AUS) Red Bull-Renault 1m 22.680s
4. Max Verstappen (NED) Red Bull-Renault 1m 23.087s
5. Kimi Raikkonen (FIN) Ferrari 1m 23.113s
6. Sebastian Vettel (GER) Ferrari 1m 23.334s
7. Valtteri Bottas (FIN) Williams-Mercedes 1m 23.522s
8. Carlos Sainz Jr (ESP) Toro Rosso-Ferrari 1m 23.643s
9. Sergio Perez (MEX) Force India-Mercedes 1m 23.782s
10. Fernando Alonso (ESP) McLaren-Honda 1m 23.981s
11. Nico Hulkenberg (GER) Force India-Mercedes 1m 24.203s
12. Jenson Button (GBR) McLaren-Honda 1m 24.348s
13. Daniil Kvyat (RUS) Toro Rosso-Ferrari 1m 24.445s
14. Romain Grosjean (FRA) Haas-Ferrari 1m 24.480s
15. Kevin Magnussen (DEN) Renault-Renault 1m 24.625s
16. Esteban Gutierrez (MEX) Haas-Ferrari 1m 24.778s
17. Jolyon Palmer (GBR) Renault-Renault 1m 24.903s
18. Felipe Massa (BRA) Williams-Mercedes 1m 24.941s
19. Felipe Nasr (BRA) Sauber-Ferrari 1m 25.202s
20. Marcus Ericsson (SWE) Sauber-Ferrari 1m 25.579s
21. Pascal Wehrlein (GER) Manor-Mercedes 1m 25.754s
22. Rio Haryanto (INA) Manor-Mercedes 1m 25.939s