Rabu, 11 Mei 2016 | 8:40pm

Piala Uber: Pei Tty masih berteka-teki

BEREGU wanita, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei. - Foto BERNAMA
BEREGU wanita, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei. - Foto BERNAMA

SEPANG: Siapakah beregu terbaik yang akan diturunkan pada saingan Piala Uber di Kunshan, China bermula Ahad ini?

Itu yang menjadi persoalan ketika ini, malah teka-teki itu masih disimpan kemas jurulatih beregu wanita negara Wong Pei Tty yang dilihat masih belum ada jawapan terhadap persoalan itu.

Atas kertas, pada awalnya Vivian Hoo-Woon Khe Wei seharusnya menjadi beregu utama dengan gandingan bidan terjun Goh Liu Ying-Amelia Alicia Anscelly mengisi slot beregu kedua berikutan kecederaan melanda Soong Fie Cho.

Namun ia masih belum muktamad ekoran prestasi Vivian-Khe Wei kurang mantap berbanding pencabar lain sekali gus timbul pendapat untuk menukar pasangan itu bagi memastikan kekuatan beregu pertama dan kedua seimbang.

"Saya tidak boleh bercakap mengenainya lagi kerana kami (barisan kejurulatihan) pun belum buat keputusan.

"Bagi saya, kami perlu menilai prestasi mereka sepanjang sesi latihan di China nanti dan tengok keadaan lawan yang ditemui sebelum membuat pilihan gandingan terbaik," kata Pei Tty.

Sebelum ini bekas jurulatih beregu negara Rosman Razak berpendapat skuad Piala Uber negara perlu berani mengambil risiko memisahkan Vivian-Khe Wei di ranking ke-21 dunia jika mahu menyerlah pada saingan itu.

Malah, dia turut memberi formula untuk menggandingkan ketua pasukan, Liu Ying dengan Vivian untuk menjadi beregu kedua sementara Khe Wei bersama pemain lain sebagai pasangan utama.

Selain keempat-empat pemain yang beraksi dalam acara beregu ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut mendaftarkan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, namun mereka lebih kepada gandingan meningkat naik.

Sementara itu, Pei Tty yang juga bekas pemenang pingat emas berganda Sukan Komanwel 2006 Melbourne berkata meskipun berada dalam kumpulan maut bersama China, Denmark dan Sepanyol, namun mereka tetap memasang sasaran untuk mara ke suku akhir.

Fakta Nombor

25 - sepanjang 25 edisi penganjuran Piala Uber Malaysia tidak pernah menjuarainya

Berita Harian X