Sabtu, 7 Mei 2016 | 4:17pm

Allegri setuju bimbing Juventus 2 tahun lagi

MASSIMILIANO Allegri .
MASSIMILIANO Allegri .

MILAN: Massimiliano Allegri sudah menandatangani kontrak selama dua tahun untuk kekal bersama Juventus untuk sekali gus menjadikan dia sebagai jurulatih menerima gaji paling tinggi dalam saingan Serie A.

Menurut laporan, Allegri bersetuju menandatangani kontrak baharu bersama kelab Itali itu selepas pihak pengurusan bersetuju dengan syaratnya agar mereka tidak menjual Paulo Dybala atau Paul Pogba.

Allegri yang membawa skuad Old Lady meraih gelaran juara liga sejak dua musim lalu menandatangani kontrak itu, semalam.

"Kini, dia sudah menandatangani kontrak baharu untuk tempoh dua tahun lagi. Allegri akan kekal bersama Juventus sehingga 30 Jun 2018," kata kenyataan rasmi yang dikeluarkan Juventus.

Pengendali berusia 48 tahun itu yang membawa AC Milan menjulang gelaran liga pada 2011 menerima kenaikan gaji daripada 3.5 juta euro (RM15.9 juta) kepada 5 juta euro (RM22.8 juta) setahun, sekali gus dalam proses untuk menjadi jurulatih yang menerima gaji paling dalam saingan utama Itali.

Sebelum ini, Allegri dikaitkan bakal berpindah ke Chelsea dan Real Madrid tetapi akhbar La Repubblica menerusi laman web rasminya melaporkan Juventus berjaya mengikat Allegri selepas bersetuju mengekalkan penyerang Argentina, Dybala yang merekodkan 16 gol dan pemain tengah Perancis, Pogba.

Kejayaan Juventus merangkul gelaran liga musim ini menyaksikan mereka menyamai rekod pada 1935 apabila memenanginya buat kali kelima berturut-turut.

Allegri berpeluang untuk merekodkan gelaran kedua berturut-turut dalam saingan domestik apabila Juventus menentang AC Milan dalam aksi final Piala Itali 21 Mei ini. - AFP

Berita Harian X