Jumaat, 6 Mei 2016 | 7:59pm

Syaidatul di landasan tepat pertahan kejuaraan

PEMAIN boling Malaysia, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi. - Foto Owee Ah Chun
PEMAIN boling Malaysia, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi. - Foto Owee Ah Chun

PETALING JAYA: Pemain boling elit negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi tidak mahu terlalu selesa selaku juara bertahan Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Malaysia supaya terus fokus dalam setiap aksi pada edisi kali ini.

Pemain kelahiran Perak itu menamatkan saingan pusingan pertama kategori Masters Terbuka Wanita final di kedudukan kedua dengan mencatatkan 1,828 jatuhan pin, 16 pin di belakang pemain Singapura, Bernice Lim dengan 1,844.

"Saya bermula dengan baik pada awal perlawanan tadi namun pada saat akhir, lebih kurang pada permainan kelima, saya rasa macam 'lane' sudah mula licin dan perlukan sedikit perubahan pada balingan.

"Bagaimanapun, saya tetap bermain seperti biasa. Saya tetap gembira dengan keputusan hari ini kerana ia adalah satu catatan yang bagus, ada penambahbaikan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Syaidatul Afifah yang baru sahaja pulih daripada kecederaan belakang berkata beliau berpuas hati dengan prestasinya walaupun sudah hampir dua bulan tidak terlibat langsung dalam aktiviti boling.

Mengulas mengenai pusingan kedua yang akan berlangsung esok, Syaidatul Afifah berkata beliau menerima saingan sengit daripada pemain Singapura walaupun edisi kali ini kurang menerima penyertaan dari pemain terbaik dunia lain (untuk kategori wanita).

"Bukan bermakna tiada ataupun kurang pemain terbaik dunia jadi kurang saingan ... apa yang penting ialah jumlah jatuhan pin. Saya tidak boleh tolak saingan tapi saya boleh fokus untuk yang terbaik," katanya.

Turut melepasi pusingan pertama ialah Radin Nur Najwa Arifah Radin Dzulfakar, Nora Lyana Nastasia Norkamal dan Natasha Roslan.

Bagi kategori lelaki pula, juara bertahan dari Korea Selatan, Park Jong Woo mengungguli blok pertama dengan mencatatkan 1,865 jatuhan pin.

Atlet negara yang tersenarai ialah Adrian Ang, Alex Liew, Tun Al Hakim Tun Hasnul Azam dan Muhd Nur Aiman Khairuddin.

Pada perlawanan yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway itu, Syaidatul Afifah dan Park bermain sebagai pemain pilihan pusingan pertama selaku juara edisi lepas.

Sementara itu, pada pusingan kelayakan hanya lapan peserta lelaki dan enam wanita sahaja layak ke pusingan kedua.

Empat atlet elit lelaki yang tersenarai ialah Ahmad Muaz Fishol, Timmy Tan, Adrian Ang dan Alex Liew, manakala peserta antarabangsa terdiri daripada Sam Cooley (Australia), Micheal Mark (Hong Kong) serta Darren Ong dan Marcus Leong (Singapura).

Atlet elit wanita pula terdiri daripada Sin Li Jane, Dayang Khairuniza Dhiyana Abang Jamalidon dan Victoria Chin manakala tiga peserta antarabangsa yang layak ialah Kim Ji Yeon (Korea Selatan), Geraldine Ng dan Joey Yeo dari Singapura.

Pada pusingan kedua esok akan menyaksikan 24 pemain lelaki dan 16 wanita beraksi untuk muncul tiga pemain terbaik bagi setiap kategori untuk layak ke pusingan akhir step-ladder.

Berikut adalah 16 pemain lelaki dan 10 wanita yang layak ke pusingan kedua selepas melepasi pusingan pertama hari ini:

Terbuka Lelaki Master Final Pusingan Pertama:

--------------------------------------------

1. Park Jong Woo (KOR) 1,865 pin

2. Tommy Jones (USA) 1,861

3. Brandan Tan (SIN) 1,819

4. Adrian Ang (MAS)1,806

5. Michael Mak (HKG)1,794

6. Alex Liew (MAS) 1,793

7. Timothy Tham (SIN) 1,784

8. Ryan Lalisang (INA) 1,770

9. Yeri Ramadona (INA) 1,737

10. Muhd Jaris Goh (SIN) 1,732

11. Dominic Barret (ENG) 1,722

12. Hengki Susanto (INA) 1,718

13. Lau Kwun Ho (HKG) 1,718

14. Annop Arromsaranon (THA) 1,711

15. Tun Al Hakim Tun Hasnul Azam (MAS) 1,707

16. Muhd Nur Aiman Khairuddin (MAS) 1,707

Terbuka Wanita Master Final Pusingan Pertama:

--------------------------------------------

1. Bernice Lim (SIN) 1,844 pin

2. Syaidatul Afifah Badrul Hamidi (MAS) 1,828

3. Joy Yap Jing Ying (SIN) 1,798

4. Tannya Roumimper (INA) 1,790

5. Radin Nur Najwa Arifah Radin Dzulfakar (MAS) 1,790

6. Nora Lyana Nastasia Norkamal (MAS) 1,777

7. Kim Ji Yeon (KOR) 1,752

8. Natasha Roslan (MAS) 1,752

9. Sim Gyeol Lee (KOR) 1,735

10. Im A Rang (KOR) 1,724 -- BERNAMA

Berita Harian X