Jumaat, 29 April 2016 | 9:27pm
NOUR El Sherbini. - Foto AFP
NOUR El Sherbini. - Foto AFP

Laura, El Sherbini berentap di final

PEMAIN England, Laura Massaro (kiri) beraksi menentang pemain Mesir Raneem El Welily pada perlawanan separuh akhir kejohanan skuash wanita dunia PSA di Pusat Skuasy Negara, Bukit Jalil, Jumaat. Laura Massaro menang (3-2) 11-2, 7-11, 11-9, 6-11, 12-10. - Foto BERNAMA
PEMAIN England, Laura Massaro (kiri) beraksi menentang pemain Mesir Raneem El Welily pada perlawanan separuh akhir kejohanan skuash wanita dunia PSA di Pusat Skuasy Negara, Bukit Jalil, Jumaat. Laura Massaro menang (3-2) 11-2, 7-11, 11-9, 6-11, 12-10. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Laura Massaro menepati status selaku pemain nombor satu dunia apabila mara ke pentas akhir Kejohanan Skuasy Dunia selepas menumbangkan pemain Mesir Raneem El Welily di separuh akhir sebentar tadi.

Laura yang belum menjuarai sebarang kejohanan tahun ini bagaimanapun diheret ke set penentuan sebelum berjaya mengetepikan naib juara edisi lalu itu 11-2, 7-11, 11-9, 6-11, 12-10 dalam pertarungan sengit di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

Menantinya di pentas akhir ialah juara baharu Terbuka British Nour El Sherbini yang menamatkan perjalanan rakan senegaranya Nouran Gohar 11-5, 11-5, 11-5 dalam aksi ulangan final Terbuka British bulan lalu.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Laura semakin hampir untuk mengulangi pencapaian edisi 2013 apabila meraih gelaran dunia pertama juga di bumi Malaysia ketika Pulau Pinang diberi hak sebagai tuan rumah.

Pada edisi terbabit lawan yang ditumbangkan juga adalah musuh yang akan ditemuinya pada pentas akhir hari ini iaitu El Sherbini yang masih segar dengan kejayaan menyambar gelaran Terbuka British, bulan lalu.

Namun persoalannya adalah bumi Malaysia sekali lagi akan membawa tuah kepada pemain berusia 33 tahun itu?

Keputusan

Separuh akhir

Laura Massaro (ENG) mn Raneem El Welily (MES) 11-2, 7-11, 11-9, 6-11,

12-10

Nour El Sherbini (MES) mn Nouran Gohar (MES) 11-5, 11-5, 11-5

Berita Harian X