Selasa, 26 April 2016 | 7:42am

Skuasy Dunia: Laura terselamat daripada kejutan

Pemain England, Laura Massaro (kanan) ketika bertemu pemain Mexico, Samantha Teran pada pusingan pertama Kejohanan Skuasy Wanita PSA Dunia di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan
Pemain England, Laura Massaro (kanan) ketika bertemu pemain Mexico, Samantha Teran pada pusingan pertama Kejohanan Skuasy Wanita PSA Dunia di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia dan pilihan utama kejohanan dari England, Laura Massaro menerima kejutan awal sebelum mara ke pusingan kedua Kejohanan Skuasy Wanita Dunia PSA NAZA 2016 di Arena Nicol David, Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Juara Dunia 2013 itu tewas dalam set pertama sebelum bangkit dalam set seterusnya untuk mencatat kemenangan 9-11, 13-11, 11-6 dan 11-3 ke atas pemain Mexico, Samantha Teran dalam perlawanan pembukaan itu.

Bercakap kepada pemberita selepas tamat permainan, Laura menyedari beliau perlu memerah tenaga untuk menundukkan Teran selepas ketinggalan dalam set pertama.

"Saya fikir ia akan menyukarkan saya untuk bangkit kembali jika saya tewas dalam dua set pertama.

"Ia memang amat mencabar tetapi saya mempunyai keyakinan diri yang tinggi selepas mendahului 10-9 pada satu masa dalam set kedua sebelum saya bangkit dan menang," kata Juara British 2016.

"Berhadapan (Joshna) Chinappa (pemain dunia nombor 14 dalam perlawanan kedua) bukannya mudah bagi saya kerana kami pernah bertemu dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

"Saya perlu menukar gaya permainan jika saya mahu menewaskannya," kata pemain berusia 32 tahun itu.

Terdahulu Joshna menempah tempat dalam pusingan kedua selepas menewaskan rakan senegara Massaro, Victoria Lust, 11-8, 11-3 dan 11-5 dalam perlawanan pusingan pertama.

Pada masa yang sama, pemain Mesir mempamerkan penguasaan mereka selepas tiga daripada empat pemain layak ke pusingan kedua yang akan berlangsung Rabu ini.

Pemain nombor tiga dunia, Raneem El Welily mengambil masa 27 minit untuk menewaskan Tesni Evans dari Wales dengan mata 11-5, 11-2 dan 11-6.

Omneya Abdel Kawy, pemain nombor enam dunia menundukkan Emily Whitlock dari England, 11-5, 11-9, 11-7 manakala pemain nombor sembilan dunia, Nour El Tayeb menumbangkan pemain Hong Kong, Liu Tsz-Ling, 11-6, 11-7 dan 11-3.

Lapan lagi perlawanan pusingan pertama akan berlangsung hari ini untuk menentukan empat pemain yang akan ke pusingan kedua dalam kejohanan yang menawarkan hadiah berjumlah US$185,000 (RM743,061).

KEPUTUSAN:

[9] Nour El Tayeb (EGY) mn Liu Tsz-Ling (HKG) 11-6, 11-7, 11-3

[7]Amanda Sobhy (USA) mn Megan Craig (NZL) 11-4, 11-5, 11-2

[3] Raneem El Welily (EGY) mn [24] Tesni Evans (WAL) 11-5, 11-2, 11-6

[6] Omneya Abdel Kawy (EGY) mn [17] Emily Whitlock (ENG) 11-5, 11-9, 11-7

[14] Joshna Chinappa (IND) mn [19] Victoria Lust (ENG) 11-8, 11-3, 11-5

[1] Laura Massaro (ENG) mn Samantha Teran (MEX) 9-11, 13-11, 11-6, 11-3

[12] Joelle King (NZL) mn LOW WEE WERN (MAS) 11-9, 11-6, 11-7

[15] DELIA ARNOLD (MAS) mn Mariam Metwally (EGY) 12-10, 10-12, 12-10, 11-9

Nota - ( ) rangking pemain dalam kejohanan

-- BERNAMA

Berita Harian X