Rabu, 20 April 2016 | 11:38pm

Jerez bukan litar mudah - Hafizh Syahrin

PELUMBA Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah. - Foto BERNAMA
PELUMBA Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah menjangkakan saingan sengit pada pusingan keempat Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) di Litar Jerez, Sepanyol, hujung minggu ini.

Sambil mengakui bakal berdepan tugas getir pada 10 perlumbaan akan datang, pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu bersedia menggegar litar Eropah itu, selepas menampilkan prestasi membanggakan pada tiga pusingan awal di Qatar, Argentina dan Amerika Syarikat.

Keyakinan Hafizh Syahrin itu berdasarkan kepada penampilannya tahun lepas di Litar Jerez selepas beliau menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 keseluruhan.

"Saya kembali bertenaga setelah berehat selepas pusingan ketiga di Circuit of the Americas. Jerez bukan litar yang mudah tetapi saya agak biasa dengan perlumbaan di situ sama seperti pelumba lain," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pasukan berkenaan, hari ini.

"Kami melakukan ujian rasmi di sana awal tahun ini dan saya agak berpuas hati dengan keputusan keseluruhan selepas membuat penambahbaikan pada beberapa aspek dan saya berharap keputusan lebih baik di sana tahun ini," katanya.

Berkongsi pandangan sama dengan Hafizh Syahrin adalah pengurus pasukan, Barry Leong yang melahirkan keyakinan pelumba itu semakin bertenaga dan matang musim ini, selepas menimba banyak pengalaman pada tiga perlumbaan awal sebelum ini.

"Peningkatan pada casis dan bahagian-bahagian tertentu membantu Hafizh setakat ini.

"Sekali lagi, kami ingin memastikan beliau melakukan yang terbaik pada kelayakan agar kita mempunyai peluang yang baik bersaing dengan kelompok hadapan," kata Leong.

Hafizh Syahrin kini berada di tempat kesembilan keseluruhan dalam carta kedudukan Moto2 dengan kutipan 23 mata, manakala pelumba Great Britain, Sam Lowes daripada pasukan Federal Oil Gresini berada di tangga teratas dengan 47 mata. - BERNAMA

Berita Harian X