Sabtu, 16 April 2016 | 12:05pm

Monte Carlo Masters: Federer pula ditunjuk jalan keluar

ROGER Federer meninggalkan gelanggang selepas tewas kepada Jo-Wilfried Tsonga di peringkat suku akhir, semalam - Foto AFP
ROGER Federer meninggalkan gelanggang selepas tewas kepada Jo-Wilfried Tsonga di peringkat suku akhir, semalam - Foto AFP

MONTE CARLO: Roger Federer tersingkir daripada saingan tenis Monte Carlo Masters selepas tewas 3-6 6-2 7-5 kepada pemain pilihan tempatan, Jo-Wilfried Tsonga di peringkat suku akhir, semalam.

Bintang tenis Switzerland yang juga pilihan ketiga kejohanan kembali beraksi di Monte Carlo selepas berehat lebih 10 minggu akibat kecederaan bermula baik pada awal permainan namun Tsonga pantas mencari kelemahan bekas pemain nombor satu dunia pada dua set berikutnya.

Dengan mensasarkan pukulan kilas Federer, bermain dengan tekanan tinggi, pemain kelahiran Perancis itu tampil menguasai permainan set kedua sebelum menang set penentuan.

Kemenangan menyaksikan Tsonga dijadual bertemu rakan senegaranya, Gael Monfils yang mara selepas menewaskan pemain Sepanyol, Marcel Granollers 6-2 6-4.

Pada aksi lebih awal, pakar gelanggang tanah liat, Rafa Nadal yang juga juara lapan kali di Monte Carlo menampilkan sedikit tahap permainan terbaiknya selepas menewaskan pemenang Terbuka Perancis, Stan Wawrinka 6-1 6-4.

Nadal yang mencipta rekod mengharungi 46 perlawanan dengan kemenangan berturut-turut pada 2005 hingga 2013 sebelum mengakhiri saingan selaku naib juara akan bertemu jaguh Britain, Andy Murray bagi penentuan tempat ke final.

Selepas dihimpit beberapa siri kecederaan dan penyingkiran di peringkat awal, Nadal yang diletakkan pilihan kelima kini berpeluang untuk meraih kemenangan pertama musim ini.

"Itulah yang sebenarnya apa yang saya inginkan, ia adalah sasaran saya, ia memberi saya keyakinan," kata Nadal.

Pemain nombor dua dunia, Murray melangkah ke peringkat empat terbaik selepas menewaskan pemain Kanada, Milos Raonic 6-2,6-0. - Reuters

Berita Harian X