Jumaat, 15 April 2016 | 9:44am

Donald pendahulu Jelajah RBC Heritage

 BEKAS pemain nombor satu dunia, Luke Donald. - Foto AFP
BEKAS pemain nombor satu dunia, Luke Donald. - Foto AFP

LOS ANGELES: Bekas pemain nombor satu dunia, Luke Donald yang bercadang bersara daripada sukan golf profesional, Mei tahun lalu memberikan dirinya rangsangan selepas mendahului pusingan pertama kejohanan Jelajah PGA RBC Heritage, sebentar tadi.

Donald yang kali terakhir menjuarai kejohanan pada 2013 di Dunlop Phoenix, Jepun melakukan tiga birdie pada lapan lubang terakhir untuk mencatatkan keseluruhan lima bawah par 66 di lapangan golf Harbour Town.

Secara keseluruhan, pemain kelahiran Britain itu melakukan enam birdie dan satu bogey untuk menamatkan saingan hari pertama selaku pendahulu dan berkongsi kedudukan bersama pemain Afrika Selatan, Branden Grace.

Grace sudah memenangi tujuh gelaran dalam Jelajah Eropah namun masih memburu gelaran pertamanya di PGA.

Pemain nombor satu dunia, Jason Day juga boleh menamatkan saingan dengan lima bawah par namun gagal menyempurnakan par di lubang terakhir untuk menamatkan hari pertama di tempat kedua berkongsi kedudukan bersama pemain Amerika Syarikat (AS), Matt Kuchar, Tony Finau dan pemain Sweden, David Lingmerth.

"Saya kurang bernasib baik namun saya tidak sepatutnya berada dalam bunker itu sebenarnya," kata Day yang sudah memenangi dua daripada tiga kejohanan Jelajah PGA, tahun ini.

"Saya lega melakukan bogey. Saya bermain dengan baik sehingga pada satu tahap saya tidak begitu kecewa... bukan cara begini yang saya hendak untuk tamatkan permainan, namun saya bermain dengan baik sepanjang hari dan melakukan 67."

Donald yang tidak pernah memenangi gelaran PGA sejak 2012 dan menghuni ranking 95 dunia berkata, dia gembira untuk mendapatkan permulaan baik pada lapangan yang dia hanya menjadi naib juara pada tiga kejohanan.

"Tahun ini, dan juga tahun lalu, saya mencari kejohanan di mana saya boleh menjadi pencabar dan berharap untuk meraih kemenangan," kata pemain berusia 38 tahun itu. - Reuters

Keputusan hari pertama:

66 - Luke Donald (ENG), Branden Grace (RSA)

67 - Matt Kuchar, David Lingmerth (SWE), Tony Finau, Jason Day (AUS)

68 - Kim Si-Woo (KOR), Fabian Gomez (ARG), Charley Hoffman, George McNeill, Johnson Wagner, Kevin Chappell, Spencer Levin, Scott Pinckney

69 - Francesco Molinari (ITA), Charles Howell, Tommy Gainey, David Toms, Patton Kizzire, William McGirt, Graham DeLaet (CAN), Zac Blair, Bill Haas, Stuart Appleby (AUS)

Berita Harian X