Isnin, 11 April 2016 | 12:02am

Gimnas negara raih dua emas di Slovenia

FARAH Ann Abdul Hadi dan Tan Ing Yueh.
FARAH Ann Abdul Hadi dan Tan Ing Yueh.

KUALA LUMPUR: Skuad gimnastik artistik negara menampilkan aksi yang mempesonakan selepas merangkul dua pingat emas pada Kejohanan Siri Piala Dunia Gimnastik Artistik di Ljubljana, Slovenia, hari ini.

Pemenang dua pingat emas Sukan SEA 2015 di Singapura, Tan Ing Yueh menyumbang pingat emas pertama Malaysia selepas mengungguli acara batang titian dengan 13.800 mata, menurut laman sesawang kejohanan: website;www.world-cupljubljana.si.

Gimnas Slovenia, Adela Sajn memenangi pingat perak dengan 13.300 mata sementara gimnas dari Kanada, Sydney Soloski meraih gangsa dengan mengutip 13.200 mata.

Seorang lagi gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi menduduki tempat kelima daripada lapan gimnas keseluruhan dalam acara itu dengan memungut 12.650 mata.

Pingat emas kedua Malaysia disumbangkan oleh Tracie Ang dalam acara senaman lantai dengan meraih 13.450 mata sementara Soloski dan Dorina Boeczoego dari Hungary, masing-masing memenangi perak dan gangsa selepas mengutip 13.300 dan 13.250 mata.

Kemenangan itu mengubat kekecewaan Tracie yang menduduki tempat kelapan dalam acara melombol pada Sabtu.

Farah Ann merangkul pingat pertama Malaysia pada kejohanan itu apabila memenangi perak dalam acara melombol wanita. - BERNAMA

Berita Harian X