Ahad, 10 April 2016 | 8:17am

GP Amerika: Hafizh mula di petak ke-17

HAFIZH bakal memulakan perlumbaan dari petak ke-17 di GP Amerika Syarikat, awal pagi esok.
HAFIZH bakal memulakan perlumbaan dari petak ke-17 di GP Amerika Syarikat, awal pagi esok.

KUALA LUMPUR: Pelumba tunggal negara dalam saingan Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Hafizh Syahrin Abdullah bakal memulakan perlumbaan dari petak ke-17 di Grand Prix (GP) Amerika Syarikat, awal pagi esok.

Hafizh yang berdepan masalah pada sesi latihan bebas ketiga awal pagi tadi, mencatat 2 minit 10.292 saat ketika sesi kelayakan selepas itu, 1.442s ketinggalan dengan Alex Rins dari pasukan Paginas Amarillas HP 40 yang akan memulakan perlumbaan di petak pertama.

Mengulas mengenai masalah yang dihadapinya ketika sesi latihan bebas ketiga, pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu berkata: "Saya rasa lebih baik sewaktu di awal sesi.

"Jentera berada dalam keadaan baik dan saya hanya perlu sedikit penambahbaikan bagi mengatasi sedikit masalah tayar membuang di beberapa selekoh.

"Ketika hendak keluar ke litar, hujan mulai turun dan kami mengambil keputusan untuk mengubah pelarasan dari kering ke basah.

"Kita masih perlu membuat beberapa perubahan pelarasan supaya lebih sesuai dengan keadaan litar yang basah tetapi secara umumnya, semuanya dalam keadaan baik."

Pada pusingan kedua di GP Argentina minggu lalu, Hafizh menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam selepas bermula dari petak 12 sekali gus membolehkannya menduduki tempat keempat keseluruhan dengan 23 mata.

Berita Harian X