Sabtu, 9 April 2016 | 10:11pm

Badan korporat diminta bantu pembangunan hoki negeri

PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal beramah mesra dengan pemain hoki selepas majlis pelancaran Liga Hoki TNB-Kelantan 2016 di Kota Bharu, hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal beramah mesra dengan pemain hoki selepas majlis pelancaran Liga Hoki TNB-Kelantan 2016 di Kota Bharu, hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BAHARU: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mahu badan korporat tampil membantu persatuan negeri dalam pembangunan sukan berkenaan agar setaraf dengan sukan lain.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata bagi pembangunan hoki di setiap negeri, persatuan negeri memerlukan suntikan dana daripada badan korporat, dan tidak boleh hanya bergantung kepada sumbangan kerajaan.

"Kami mengalu-alukan sumbangan daripada badan korporat kerana saya lihat setiap negeri mempunyai ramai permata yang mampu digilap ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa sekiranya mendapat perhatian seperti bola sepak," katanya selepas majlis pelancaran Liga Hoki TNB-Kelantan 2016 di sini, hari ini.

Beliau berkata kebanyakan persatuan negeri mengalami masalah infrastruktur seperti penyediaan padang bagi melakukan latihan, contohnya di Kelantan yang kemudahan itu hanya ada di Pasir Mas, sekali gus menyukarkan pemain mendapat latihan secukupnya.

Subahan berkata bantuan daripada badan korporat juga membolehkan persatuan negeri menganjurkan liga yang berkualiti.

"Setiap negeri perlu mengadakan liga bagi mencungkil bakat baharu, jika tiada bantuan dan tiada liga, di mana bakat pemain dapat ditunjukkan?," katanya.

Beliau berkata KHM mendapat kerjasama daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menyediakan peruntukan RM50,000 untuk setiap negeri menganjurkan liga.

Katanya, usahasama ini adalah pembaharuan dan program yang cukup baik bagi pembangunan sukan berkenaan. - BERNAMA

Berita Harian X