Isnin, 4 April 2016 | 11:24pm

Tinggal 3 kejohanan buat beregu wanita layak Olimpik

PASANGAN beregu Malaysia, Vivian Hoo Kah Mun (kiri) dan Woon Khe Wei. - Foto Osman Adnan
PASANGAN beregu Malaysia, Vivian Hoo Kah Mun (kiri) dan Woon Khe Wei. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara, Woon Khe Wei-Vivian Hoo tidak mempunyai banyak pilihan selain menampilkan aksi terbaik dalam tiga kejohanan terakhir untuk mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik, bermula di Terbuka Malaysia, Rabu ini.

Mengakui kesilapan teknik menyebabkan pasangan itu berada dalam situasi berkenaan, Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen sekadar mampu berharap Khe Wei-Vivian mampu mengulangi pencapaian mara ke suku akhir Terbuka Switzerland bulan lalu.

Selepas diketepikan dalam beberapa kejohanan termasuk Seluruh England bulan lepas, serta Terbuka Singapura minggu depan, pasangan yang kini menduduki tangga ke-14 kelayakan Olimpik itu hanya akan beraksi di Masters China (19-24 April) dan Kejohanan Asia (26 April-1 Mei), selain Terbuka Malaysia.

Sebelum ini, kesilapan BAM mengeluarkan mereka daripada Seluruh England atas dasar undian sukar, dan mahu mereka beraksi di Kejohanan Antarabangsa Portugal tidak kesampaian selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melarang mereka berikutan mendaftar nama di dua kejohanan pada tarikh yang bertindih.

"Selepas memberikan aksi yang baik di Terbuka Switzerland, kami mengharapkan mereka dapat mengulanginya di tiga kejohanan terakhir untuk mengesahkan tiket ke Rio," kata Frost ketika dihubungi.

Frost, 58, berkata pasangan itu tidak mempunyai pilihan kerana beregu lain yang berada di bawah mereka menunjukkan peningkatan baik dalam beberapa kejohanan terakhir termasuk di Seluruh England.

"Kami akan lakukan apa sahaja untuk memastikan mereka layak ke Olimpik," katanya.

Tindakan aneh BAM yang tidak menghantar Khe Wei, 27, dan Vivian, 26, ke seberapa banyak kejohanan termasuk Terbuka Singapura sebelum tempoh kelayakan Olimpik berakhir hujung bulan ini, menimbulkan persoalan kepada perancangan persatuan itu.

Hanya 16 beregu wanita yang akan beraksi di Sukan Olimpik dengan China dan Korea Selatan sah mempunyai dua wakil maksimum, selain Jepun yang mampu mendapat tiket kedua mereka jika mempunyai lebih daripada satu pasangan dalam kelompok lapan terbaik.

Ditolak enam slot itu serta tiga yang dikhaskan untuk wakil benua, masing-masing-masing satu untuk Afrika, Pan Amerika dan Ocenia, hanya tinggal tujuh lagi tempat untuk direbut. - BERNAMA

Berita Harian X