Ahad, 3 April 2016 | 10:08pm

Peluang Khe Wei-Vivian Hoo ke Olimpik makin samar

PASANGAN Vivian Hoo (kiri) dan Woon Khe Wei.
PASANGAN Vivian Hoo (kiri) dan Woon Khe Wei.

KUALA LUMPUR: Nasib beregu wanita utama negara, Woon Khe Wei-Vivian Hoo kini tidak ubah seperti jatuh ditimpa tangga dengan tiket ke Sukan Olimpik Rio, pada Ogos ini semakin longgar daripada genggaman.

Kesilapan percaturan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini boleh mengakibatkan pasangan nombor 14 dunia itu kehilangan peluang membuat penampilan sulung di temasya sukan terbesar dunia itu.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan sejauh mana kesungguhan badan induk berkenaan mahukan pasangan itu layak ke Rio de Janeiro, Brazil itu nanti.

Jika sebelum ini, Khe Wei-Vivian hilang peluang beraksi satu pertandingan di Eropah bulan lalu.

Terbaru mereka tidak pula disenaraikan ke Terbuka Singapura minggu depan, ketika buruan mata Olimpik akan berakhir 30 April ini.

Ketika kebanyakan pemain handalan dunia mengambil peluang mengukuhkan kedudukan di Singapura, Khe Wei-Vivian, masing-masing 27 dan 26 tahun pula kekal di tanah air - satu langkah aneh daripada BAM.

Ini disahkan Pengurus Prestasi BAM, Joanne Quay, yang menyebut pemain wanita yang dihantar adalah juara remaja dunia, Goh Jin Wei, Tee Jing Yi, dan Ho Yen Mei - semuanya dalam acara perseorangan.

Bagi jurulatih beregu wanita, Wong Pei Tty, Khe Wei-Vivian tidak dihantar ke Terbuka Singapura kerana mereka tiada dalam perancangan BAM untuk beraksi di republik itu.

Bekas jurulatih mereka, Rosman Razak pula mengakui hairan mengapa pasangan itu tidak banyak dihantar bertanding.

"Perancangan BAM untuk beregu lelaki memang betul dengan menghantar mereka ke banyak kejohanan besar untuk kutip mata tapi untuk beregu wanita, lain pula," kata Rosman yang terkilan melihat keadaan itu.

Sebelum ini, keghairahan mencatur peluang dalam sesuatu kejohanan yang disertai gandingan itu dengan harapan mampu menambah mata kelayakan, sebaliknya menyaksikan Khe Wei-Vivian gagal menambah mata yang amat diharapkan.

Difahamkan, BAM menamakan pasangan ini untuk Seluruh England berstatus Siri Super Premier (8-13 Mac) dan Kejohanan Antarabangsa Portugal (10-13 Mac) yang tarikh jelas bertindih.

Tindakan tersebut mengundang padah apabila Khe Wei-Vivian yang menarik diri daripada kejohanan di Birmingham itu, menyaksikan mereka tidak dibenarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) beraksi di Portugal.

"Ia lebih kepada isu teknikal," kata Pei Tty yang enggan mengulas lanjut ketika dihubungi.

Bagi Rosman pula, isu teknikal tidak sepatutnya berlaku ketika semua pemain memburu mata kelayakan Olimpik yang cukup penting.

"Saya tidak mahu komen lanjut mengenai isu teknikal kerana orang yang lebih layak menjelaskannya adalah Morten (Frost-Pengarah Teknikal BAM)," katanya.

Penarikan diri daripada Seluruh England itu dipercayai dibuat selepas melihat undian yang sukar dan BAM mahu Khe Wei-Vivian mencuri mata di kejohanan yang saingannya lebih lemah di Portugal.

Vivian-Khe Wei kemudian dimasukkan untuk beraksi di GP Emas Terbuka Switzerland dari 15-20 Mac yang menyaksikan mereka mara ke suku akhir.

Kedudukan Khe Wei-Vivian masih belum selamat untuk ke Rio de Janeiro kerana berada dalam kedudukan ke-14 kelayakan Olimpik sehingga 31 Mac lalu.

Ketika ini, daripada 16 pasangan yang akan layak ke Olimpik, China dan Jepun, masing-masing akan mempunyai dua wakil maksimum kerana pemain mereka berada dalam kelompok lapan terbaik.

Tiga lagi tempat disediakan masing-masing untuk kuota benua Afrika, Pan Amerika dan Oceania, sekali gus menjadikan sembilan lagi tiket menjadi rebutan.

Tanpa mempunyai banyak kejohanan untuk disertai, Khe Wei-Vivian terpaksa mengharapkan pasangan lain di bawah ranking mereka, tidak memintas kedudukan sebelum tarikh akhir kelayakan tamat hujung bulan ini. - BERNAMA

Berita Harian X