X
Sabtu, 2 April 2016 | 1:05am

PGAM, YAKEB akan bantu Shaaban

KUALA LUMPUR: Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGAM) bersedia membantu pemain golf negara, Shaaban Hussin yang kaki kirinya terpaksa dipotong selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Guthrie, kelmarin.

Pengurus Besarnya, Faridil Atras Othman, berkata pihak persatuan terlebih dulu harus mengadakan perbincangan dengan Ahli Majlis PGAM selain mendapatkan pandangan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) sebelum membuat sebarang keputusan.

"Kami akan cuba melihat sejauh mana bantuan yang mampu disalurkan kepada Shaaban termasuk daripada sudut kebajikannya.

"Mungkin bantuan itu daripada sudut kewangan namun ia perlu dibincangkan terlebih dulu kerana perkara ini berlaku sekelip mata.

"Sebarang keputusan memerlukan kelulusan daripada Ahli Majlis termasuk jenis bantuan yang wajar diberikan kepada mangsa dan keluarganya," kata Faridil semalam.

Faridil yang ditemui BH Sukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam berkata, dia masih terkejut dengan peristiwa yang berlaku ke atas atlet berusia 36 tahun itu apatah lagi kali terakhir bertemu Rabu lalu.

Sementara itu, YAKEB menerusi satu kenyataan media berkata, pihaknya akan membiayai rawatan perubatan Shaaban menerusi Skim Bantuan Khas YAKEB.

Pengurus Operasi YAKEB, Aminuddin Mohd Nasir berkata, berdasarkan kes membabitkan ahlinya, atlet yang mengalami kes seperti itu layak menerima RM500 sekiranya dimasukkan ke hospital kerajaan.

Atlet berkenaan juga layak menerima Skim Bantuan Khas Rawatan sebanyak RM2,500 setahun sekiranya tidak dimasukkan ke wad dan RM20,000 (ditempatkan di wad) dengan setiap kosnya ditanggung penuh yayasan berkenaan.

Berita Harian X