Khamis, 31 March 2016 | 6:43pm

FAM gantung Zulhamizan, 3 pemain

KUALA LUMPUR: Pegawai pasukan Kuantan FA, Zulhamizan Zakariah dijatuhi hukuman gantung selama tujuh bulan dan denda RM3,000 selepas didapati bersalah berkelakuan ganas dalam dua aksi Liga Perdana sebelum ini.

Hukuman itu diumumkan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di sini, sebentar tadi.

Zulhamizan didapati bersalah berkelakuan ganas terhadap pegawai perlawanan dan mengeluarkan kata-kata kesat serta menunjukkan isyarat lucah terhadap pengadil ketika aksi antara pasukan UiTM FC dan Kuantan FA di Stadium UiTM, Shah Alam pada 26 Februari lalu.

Dia juga didapati bersalah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai perlawanan ketika perlawanan Piala FA antara pasukan Perak dan Kuantan FA di Stadium Perak, Ipoh pada 5 Mac lalu.

Zulhamizan didakwa melanggar Artikel 51.1 (a) & (b) Kod Tatatertib FAM 2015'  berkenaan 'Salahlaku terhadap pegawai perlawanan' dan dibaca bersama dengan 'Artikel 59 Kod Tatatertib FAM 2015' berkenaan 'Kelakuan yang menyinggung dan fair play'.

Selain itu, Jawatankuasa Tatatertib turut memutuskan pemain Sabah, Maxsius Mus digantung empat perlawanan dan denda RM2,000 selepas didapati bersalah menunjukkan isyarat lucah ke atas pengadil perlawanan ketika aksi Sabah menentang Melaka di Stadium Likas pada 11 Mac lalu.

Pemain import Kuala Lumpur, Mario Marlovic pula digantung dua perlawanan kerana berkelakuan ganas terhadap pemain Perlis pada aksi Piala FA di Kangar pada 5 Mac lalu.

Pemain Perlis, Azmizi Azmi turut digantung dua perlawanan kerana berkelakuan ganas terhadap pemain Kuala Lumpur pada aksi Piala FA di Kangar pada 5 Mac lalu.

Berita Harian X