Selasa, 22 March 2016 | 12:37am

Pengalaman di Kazan ajar Welson untuk cemerlang di Rio

TIMBALAN Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ab Jalil Abdullah menyambut kepulangan perenang negara kelahiran Sarawak, Welson Sim Wee Sheng dari Singapura. Hadir sama menyambut kepulangan perenang negara itu, ketua jurulatih, Paul Thomas Birmingham (kiri) dan Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amateur Malaysia, Mae Chen (kanan). - Foto BERNAMA
TIMBALAN Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ab Jalil Abdullah menyambut kepulangan perenang negara kelahiran Sarawak, Welson Sim Wee Sheng dari Singapura. Hadir sama menyambut kepulangan perenang negara itu, ketua jurulatih, Paul Thomas Birmingham (kiri) dan Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amateur Malaysia, Mae Chen (kanan). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perenang negara, Welson Sim tekad tidak mahu mengulangi prestasi buruk ketika beraksi di Kejohanan Dunia FINA di Kazan, Rusia tahun lalu, apabila bersaing di Sukan Olimpik 2016 pada Ogos.

Walaupun mengakui bakal berdepan tekanan, dia berjanji untuk menampilkan aksi terbaik pada temasya sukan terbesar di dunia itu.

Welson berjaya membuktikan kemampuan, sekali gus memperbaiki kesilapannya dengan menempah dua slot secara merit melalui kelayakan kategori A ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Dua tiket ke Rio itu adalah dalam acara 200 dan 400 meter gaya bebas lelaki selepas memenangi pingat emas dalam kedua-dua acara itu pada Kejohanan Renang Peringkat Umur Kebangsaan Singapura, baru-baru ini.

Sementara itu, Welson, 19, berkata beliau menyasarkan mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir acara 200m gaya bebas.

"Sebelum kejohanan itu (di Singapura), saya tidak fikir boleh tempah slot dalam dua acara tapi syukur akhirnya berjaya. Memang saya akui pada Kejohanan Dunia di Kazan, saya agak gementar.

"Saya banyak belajar dan memperbaiki segala kesilapan semasa di Kazan. Daripada kesilapan itu, saya cuba ubah pemikiran untuk jadi lebih positif.

"Tanpa pengalaman pahit itu dan sentiasa berada dalam keadaan selesa, tidak mungkin saya akan berusaha sehingga ke tahap ini," kata Welson, yang muncul perenang Malaysia pertama layak secara merit dalam dua acara renang di Sukan Olimpik.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Abdul Jalil Abdullah berkata pihaknya akan memberi tumpuan kepada semua atlet program 'Kita Juara' terutamanya dalam renang.

Katanya, Welson akan mengikuti latihan dan kejohanan luar negara seperti dirancang melalui program berkenaan.

Selain Welson, beliau percaya masih ada beberapa lagi atlet yang mampu melayakkan diri ke Sukan Olimpik sebelum tarikh akhir kelayakan pada Jun depan.

Antara perenang berpotensi adalah Daniel Bego, Khoo Cai Lin, Phee Jinq En, Wong Fu Kang dan Kevin Yeap.

Sementara itu, ketua jurulatih renang negara, Paul Thomas Birmingham berkata Welson harus diberi ruang dan peluang untuk menampilkan prestasi terbaik di Rio.

"Welson masih muda, (beliau dan perenang muda lain) masih dalam fasa peningkatan prestasi. Apa yang penting, kita bantu beliau agar bersedia dari segi mental dan kekuatan fizikal," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X