Ahad, 20 March 2016 | 4:26pm
PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah bergambar kenangan menjelang perlumbaan Grand Prix Qatar di Litar Antarabangsa Losail. - Foto Bernama
PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah bergambar kenangan menjelang perlumbaan Grand Prix Qatar di Litar Antarabangsa Losail. - Foto Bernama

Kurang cengkaman rencat sesi kelayakan Hafizh

KUALA LUMPUR: Penunggang Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui prestasinya pada sesi kelayakan Grand Prix Qatar, awal pagi tadi sedikit mengecewakan selepas dipalit isu kurang cengkaman pada jenteranya.

Pada sesi kelayakan di Litar Antarabangsa Losail, awal pagi tadi, pelumba pasukan PETRONAS Raceline Malaysia itu bergelut untuk merekodkan catatan terbaik apabila sekadar melakukan masa 2 minit 00.176 saat untuk menghuni petak ke-16 perlumbaan.

Di sebalik keadaan litar yang sama seperti sesi ujian pada Jumaat lalu, penunggang berusia 22 tahun itu gagal melakukan catatan masa di bawah dua minit disebabkan tahap cengkaman tayar yang rendah.

"Jentera tidak lagi sama seperti musim sebelum ini. Meskipun saya dapat awal dan cuba untuk memperbaiki situasi itu serta beberapa perubahan yang dibuat termasuk menukar tayar baharu, ia hanya memberi perbezaan yang kecil.

"Kami perlu melihatnya dengan lebih teliti dan memperbaiki isu ini sebelum perlumbaan," kata Hafizh.

Perkara sama turut diakui pengurus pasukan, Barry Leong yang berjanji untuk menganalisa masalah yang berlaku kepada Hafizh ketika sesi kelayakan.

"Ia agak mengecewakan kerana kami mendapat sesi latihan yang baik ketika sesi ujian dan juga latihan. Tiada perubahan besar yang dibuat namun kami bertekad untuk melakukan lebih baik dan terus meningkat.

"Mari berdoa segala-galanya dapat diselesaikan sebelum perlumbaan," katanya.

Dalam kelas Moto2, pelumba Jerman, Jonas Folger memulakan perlumbaan di petak utama selepas melakukan catatan baharu litar 1 minit 59.052 saat.

Pelumba Britan, Sam Lowes di petak kedua manakala Alex Rins melengkapkan barisan utama.

Berita Harian X