Khamis, 17 March 2016 | 8:58am

KL kekal kejuaraan boling antara negeri

PEMAIN boling Selangor, Natasha Roslan (tengah) meraih pingat emas, pingat perak Victoria Chin (kiri) dan gangsa Nur Syazwani Sahar (kanan) pada pertandingan boling kategori perseorangan wanita Astro 29th Interstate Championship 2016 yang diadakan di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PEMAIN boling Selangor, Natasha Roslan (tengah) meraih pingat emas, pingat perak Victoria Chin (kiri) dan gangsa Nur Syazwani Sahar (kanan) pada pertandingan boling kategori perseorangan wanita Astro 29th Interstate Championship 2016 yang diadakan di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

PETALING JAYA: Kuala Lumpur mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut pada Kejohanan Boling Antara Negeri yang berakhir di sini, semalam, selepas mengutip keseluruhan empat pingat emas, tujuh perak dan dua gangsa.

Pengurus pasukan Kuala Lumpur, Steven Teng berkata empat pingat emas itu diraih menerusi acara beregu lelaki, berpasukan wanita, berpasukan remaja lelaki dan acara lelaki keseluruhan.

"Walaupun muncul juara keseluruhan, kami tidak mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu lima pingat emas. Pada hari pertama kejohanan...agak membimbangkan kerana Kuala Lumpur tidak mengutip sebarang pingat emas.

"Pada hari kedua, hanya satu pingat emas dalam acara beregu lelaki dan hari ini...hari terakhir, Kuala Lumpur berjaya menambah tiga lagi pingat emas," kata Teng kepada pemberita hari ini.

Selangor menduduki tempat kedua setelah mengumpul empat pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa, diikuti Sarawak di tempat ketiga dengan kutipan empat pingat emas dan satu gangsa.

Teng berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan pasukannya yang terdiri daripada atlet skuad Sirkit Remaja dan Sukan Malaysia pada kejohanan edisi ke-29 itu.

Beliau, bagaimanapun berkata pemain wanita masih tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

Sementara itu, bagi acara keseluruhan lelaki, pingat emas dimenangi pemain Kuala Lumpur, Timmy Tan yang melakukan 3,946 jatuhan pin diikuti Muhd Rafiq Ismail, juga dari Kuala Lumpur dengan 3,919 jatuhan pin, manakala pemain Pulau Pinang, Adrian Ang meraih gangsa (3,905).

Bagi acara keseluruhan wanita, pingat emas menjadi milik pemain Selangor, Victoria Chin yang membuat 3,843 jatuhan pin, manakala pingat perak dimenangi Nur Syazwani Sahar dari Kuala Lumpur (3,805), sementara Natasha Roslan dari Selangor meraih gangsa setelah melakukan 3,779 jatuhan pin. - BERNAMA

Berita Harian X