Selasa, 15 March 2016 | 12:39am

Natasha juara tenpin boling antara negeri

PEMAIN bowling Selangor, Natasha Roslan dalam kategori perseorangan wanita, Astro 29th Interstate Championship 2016 di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PEMAIN bowling Selangor, Natasha Roslan dalam kategori perseorangan wanita, Astro 29th Interstate Championship 2016 di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

PETALING JAYA: Pemain boling kebangsaan, Natasha Roslan menebus kekecewaan edisi lalu apabila berjaya meraih pingat emas acara perseorangan wanita Kejohanan Boling Antara Negeri ke-29, pada Isnin.

Pada edisi lalu, Natasha yang mewakili Selangor, meraih pingat perak manakala pemain Kuala Lumpur Sharon Koh, memenangi emas.

Natasha, 20, yang mula menyertai skuad kebangsaan sejak tiga tahun lepas, mengumpul 1,394 jatuhan pin dengan kelebihan 91 pin, untuk selesa merebut pingat emas acara perseorangan wanita, kali ini.

Pencabar terdekatnya, Victoria Chin, juga dari Selangor, meraih perak dengan 1,303 jatuhan pin diikuti pemain Kuala Lumpur, Nur Syazwani Sahar dengan catatan 1,274 jatuhan pin.

"Saya memang tidak jangka dengan kemenangan ini, tahun lepas saya dapat pingat perak...tetapi mungkin pemain lain tidak menunjukkan prestasi terbaik mereka dan saya mengambil peluang yang ada untuk berada di tangga teratas," katanya kepada pemberita.

Natasha, pelajar jurusan perniagaan di Kolej Sunway, berkata keyakinannya untuk menjuarai acara tersebut bermula pada permainan keempat dengan mencatatkan 267 jatuhan pin.

Dalam pada itu, pemegang pingat emas kejohanan sama edisi lepas, Sharon Koh dari Kuala Lumpur sekadar berada di kedudukan keempat dengan catatan 1,262 jatuhan pin.

Sementara itu, pemain boling kebangsaan, Ahmad Muaz Fishol yang juga mewakili Selangor, menjuarai acara perseorangan lelaki selepas menjatuhkan 1,431 pin.

Pingat perak acara tersebut menjadi milik pemain Kuala Lumpur, Rafiq Ismail dengan catatan 1,425 jatuhan pin, diikuti gangsa oleh Shahrukh Amin Zulkifli dari Pahang (1,406 pin). - BERNAMA

Berita Harian X