Sabtu, 12 March 2016 | 9:47am
PENYOKONG Lazio pada perlawanan 16 terakhir Liga Europa.
PENYOKONG Lazio pada perlawanan 16 terakhir Liga Europa.

Lazio boleh dikenakan hukuman kerana ejekan perkauman

NYON, Switzerland: Gergasi Itali, Lazio bakal dikenakan hukuman selepas UEFA membuka prosiding siasatan disiplin berikutan tindakan penyokong melaungkan slogan berbaur perkauman ketika perlawanan 16 terakhir Liga Europa menentang Sparta Prague.

Aksi yang berakhir 1-1 awal pagi kelmarin terpaksa ditangguhkan seketika apabila ejekan berbaur perkauman yang ditujukan kepada pertahanan Sparta dari Zimbabwe, Costa Nhamoinesu bergema di sekeliling stadium.

UEFA berkata dalam kenyataannya bahawa Lazio disabitkan dengan kesalahan 'tingkah laku perkauman' dan 'slogan tunjuk perasaan'.

"Kes ini akan dibicarakan Jawatankuasa Kawalan, Etika dan Disiplin UEFA pada 22 Mac ini," kata kenyataan UEFA.

Pada Februari lalu, Lazio didenda 50,000 euro dan terpaksa beraksi dua perlawanan tanpa penyokong selepas penyokong mereka melaungkan slogan berbaur perkauman kepada pertahanan Napoli dari Senegal, Kalidou Koulibaly dalam aksi Serie A. - AFP

Berita Harian X