Sabtu, 27 Februari 2016 | 4:35pm

Wee Wern terkandas skuasy Terbuka Windy City

 LOW Wee Wern.
LOW Wee Wern.

KUALA LUMPUR: Kecederaan lutut jelas memberi kesan kepada pemain skuasy wanita negara, Low Wee Wern apabila gagal melepasi aksi pusingan pertama Terbuka Windy City di Chicago, Amerika Syarikat, semalam.

Pemain berusia 25 tahun dari Pulau Pinang itu tewas 11-7, 10-12, 9-11, 12-14 kepada Joey Chan dari Hong Kong dalam pertarungan selama 65 minit.

"Lutut saya mula sakit pada set keempat menyebabkan saya terpaksa berhati-hati dengan kecederaan itu, sekali gus menyebabkan fokus saya hilang," kata Wee Wern yang dipetik dalam laman sesawang kejohanan itu, windycityopen.ussquash.com.

Sementara itu, ratu skuasy negara, Datuk Nicol David dan Delia Arnold akan beraksi dalam perlawanan pusingan kedua mereka awal pagi esok.

Nicol yang juga pemain nombor dua dunia akan menentang Sarah-Jane Perry manakala Delia pula berdepan pemain Mesir, Nour El Sherbini.

- BERNAMA

Berita Harian X