Sabtu, 27 Februari 2016 | 10:23am

Blatter yakin Infantino mampu sambung tugasnya di FIFA

GIANNI Infantino. - Foto REUTERS
GIANNI Infantino. - Foto REUTERS

ZURICH: Sepp Blatter mengucapkan tahniah kepada Gianni Infantino selepas dipilih sebagai presiden baharu Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), semalam.

"Saya mengucapkan tahniah dengan penuh ikhlas kepada Gianni atas pemilihannya," kata Blatter dalam satu kenyataan yang dihantar kepada AFP menerusi e-mel dari jurucakapnya.

Blatter digantung oleh FIFA pada Oktober lalu selepas pendakwa Switzerland mengumumkan beliau menjadi sasaran siasatan terhadap jenayah salah urus dan penyalahgunaan dana.

"Menerusi pelaksanaan program pembaharuan, harapan kepadanya akan menjadi lebih tinggi. Tetapi saya yakin pengganti saya akan dapat melakukannya," kata Blatter, yang kini menjalani penggantungan selama enam tahun.

"Dengan pengalaman dan kapasiti selain strategi dan diplomasi, dia mempunyai semua kualiti untuk menyambung kerja saya dan memacu ke arah kestabilan FIFA."

Blatter turut berharap Infantino lebih bernasib baik dan menempa kejayaan.

Dalam pada itu, Blatter diberitahu betapa dia perlu meninggalkan apartmen FIFA atau mula membayar sewa, kata sumber kepada AFP.

"Selepas pemilihan penggantinya, kontrak Sepp Blatter sudah ditamatkan," kata sumber FIFA yang tidak mahu dikenali. "Ini bermakna bahawa dia perlu meninggalkan apartmen rasminya atau membayar sewa."

- AFP

Berita Harian X