Jumaat, 26 Februari 2016 | 1:07pm

Honda Classic: Garcia, Thompson kongsi kedudukan

SERGIO Garcia ketika beraksi pada Jelajah PGA Honda Classic di Palm Beach Gardens, Florida, sebentar tadi. - Foto AFP
SERGIO Garcia ketika beraksi pada Jelajah PGA Honda Classic di Palm Beach Gardens, Florida, sebentar tadi. - Foto AFP

MIAMI: Sergio Garcia membenam satu eagle dan mengelak daripada buaya, untuk berkongsi kedudukan pendahulu pusingan pertama Jelajah PGA Honda Classic bersama pemenang 2013 Michael Thompson di Palm Beach Gardens, Florida, sebentar tadi.

Pemain Sepanyol Garcia bermula dengan baik, menggunakan iron lapan daripada jarak sejauh 148 kaki di kawasan fairway untuk membenam eagle pada lubang kedua par empat.

Dia menambah lagi empat birdie, dengan satu-satunya bogey hadir di lubang keenam par empat yang mana dia terpaksa berhati-hati meranduk air untuk memukul bola separa berada dalam air, sambil mengakui dia lebih bimbang dengan kehadiran buaya berhampiran kawasan terbabit.

"Saya lebih bimbang mengenai buaya yang berada dalam kolam di sebelah sana berbanding pukulan yang tidak menjadi pada lubang keenam," kata Garcia.

Garcia bagaimanapun tidak menyesali catatan bogey pada hari yang terjejas berikutan keadaan berangin di lapangan Kejuaraan par-70 di PGA National.

Dia menamatkan aksi cemerlangnya dengan birdie terakhir di lubang ke-18.

Thompson menyertainya selepas melakukan sepusingan termasuk eagle, dua bogey dan lima birdie - dan memastikan berkongsi kedudukan pendahulu dengan juga birdie pada lubang ke-18.

Kedua-dua pendahulu bersama itu berada satu pukulan di depan berbanding Rickie Fowler dan Willian McGirt. - AFP

Berita Harian X