Jumaat, 19 Februari 2016 | 8:28pm

Giliran India hampakan skuad badminton lelaki

PEMAIN India, H.S. Prannoy. - Foto AFP
PEMAIN India, H.S. Prannoy. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Seperti skuad badminton wanita, skrip sama turut menyelubungi barisan pemain lelaki apabila tersingkir di suku akhir Kejohanan Berpasukan Asia, sebentar tadi.

Malaysia tewas kepada tuan rumah, India 2-3 dalam aksi yang penuh dramatik di Stadium Tertutup GMC Balayogi, Hyderabad.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan skuad negara gagal layak secara merit ke pusingan akhir Piala Thomas di Kunshan, China, Mei dengan dengan mereka kini bergantung kepada kedudukan ranking dunia pasukan.

Kejohanan yang turut menjadi medan kelayakan ke pusingan akhir Piala Thomas/Uber menawarkan empat slot untuk pasukan dari Asia dengan juara bertahan Piala Thomas, Jepun dan China selaku tuan rumah sudah mengesahkan tempat secara automatik.

Dalam aksi sebentar tadi, Malaysia ketinggalan 0-2 selepas perseorangan pertama Zulfadli Zulkifli tewas kepada K Srikanth 14-21, 15-21 manakala beregu, Tan Kian Meng-Low Juan Shen tunduk di tangan Manu Attri-B Sumeeth Reddy 10-21, 22-20, 16-21.

Bagaimanapun, Iskandar Zulkarnain Zainuddin terus cemerlang apabila melakar kemenangan ke atas Ajay Jayaram 17-21, 21-12, 21-16 sebelum gandingan Ong Yew Sin-Teo Ei Yi menyamakan kedudukan 2-2 apabila menundukkan Pranaav Jerry Chopra-Akshay Dewalkar 21-14, 14-21, 21-12.

Perseorangan ketiga, Soo Teck Zhi bagaimanapun gagal menghadirkan kegembiraan buat kem skuad negara apabila dia tewas di tangan H S Prannoy 12-21, 20-22 pada perlawanan penentuan.

Berita Harian X