Khamis, 18 Februari 2016 | 11:30pm

Badminton: Pemain muda negara akur kehebatan Jepun

ISKANDAR Zulkarnain Zainuddin bertemu pemain Jepun, Takuma Ueda (gambar kecil) dalam perlawanan perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Stadium Gachibowli, Hyderabad malam tadi. Zainuddin menang 17-21, 21-14, 21-17. - Foto AFP
ISKANDAR Zulkarnain Zainuddin bertemu pemain Jepun, Takuma Ueda (gambar kecil) dalam perlawanan perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Stadium Gachibowli, Hyderabad malam tadi. Zainuddin menang 17-21, 21-14, 21-17. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Skuad badminton lelaki negara terpaksa akur apabila sekadar muncul naib juara Kumpulan B Kejohanan Berpasukan Asia selepas tewas 1-4 di tangan Jepun dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Tertutup GMC Balayogi, sebentar tadi.

Dengan Jepun membariskan skuad utama, barisan pemain muda negara wajar diberikan pujian kerana tidak memberi laluan mudah kepada juara Piala Thomas 2014 itu.

Satu mata yang disumbangkan Iskandar Zulkarnain Zainuddin selain rakan-rakan sepasukannya yang mempamerkan semangat juang tinggi membuktikan mereka kini semakin matang.

Iskandar yang muncul naib juara Malaysia Masters, bulan lalu menewaskan Takuma Euda 17-21, 21-14, 21-17.

Terdahulu, perseorangan pertama negara, Zulfadli Zulkifli terpaksa akur yang dia sudah ketinggalan jauh di belakang pemain seangkatan dengannya apabila tewas kepada Kento Momota 10-21, 11-21 manakala gandingan beregu, Tan Wee Gieen-Teo Ee Yi tunduk di tangan Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa 13-21, 16-21.

Iskandar merapatkan jurang buat skuad negara hasil kemenangan ke atas Ueda tetapi mata penyamaan yang dicari menerusi beregu kedua, Tan Kian Meng-Low Juan Shen gagal dijelmakan pasangan berkenaan apabila tewas di tangan Takeshi Kamura- Keigo Sonoda 10-21, 21-15, 8-21.

Perseorangan ketiga negara, Soon Joo Ven berjaya memberikan cabaran sengit kepada Kenta Nishimoto sebelum tewas 18-21, 19-21.

Apa pun, Malaysia yang secara teknikalnya sudah melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Thomas di Kunshan, China, Mei depan berdasarkan kedudukan ranking dunia pasukan tetap perlu membuktikan keputusan menyenaraikan pemain muda adalah tepat dan mereka boleh diharapkan pada masa depan.

Menang aksi suku akhir esok, skuad muda negara boleh mendabik dada apabila layak ke Kunshan secara merit dengan menempatkan pasukan dalam kelompok empat terbaik.

Berita Harian X