Rabu, 17 Februari 2016 | 4:05pm

Skuad badminton mara, benam Nepal 5-0

BEKAS juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkifli. - Foto Goh Thean Howe
BEKAS juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkifli. - Foto Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: Skuad badminton lelaki negara mengikut jejak pasukan wanita apabila mara ke suku akhir Kejohanan Berpasukan Asia.

Kejayaan itu hadir selepas Malaysia mencatat kemenangan kedua 5-0 ke atas Nepal dalam aksi Kumpulan B di Stadium Tertutup GMC Balayogi, Hyderabad, India, sebentar tadi.

Ia adalah kemenangan kedua skuad negara selepas menewaskan Sri Lanka 4-1, semalam sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati bersama Jepun yang turut mencatat dua kemenangan ke atas lawan sama.

Aksi antara Malaysia menentang Jepun esok adalah bagi penentuan gelaran juara dan naib juara Kumpulan B.

Dalam pertemuan dengan Nepal, bekas juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkifli menyumbang mata pertama selepas menewaskan Sajan Krishna Tamrakar 21-5, 21-5 sebelum Iskandar Zulkarnain Zainuddin menghadiahkan mata kedua hasil kejayaan menundukkan Bishnu Katwal 21-3, 21-4.

Soong Joon Ven yang diberi kepercayaan beraksi bagi menggantikan Soo Teck Zhi yang tewas mengejut semalam membalasnya dengan mata ketiga apabila mengetepikan cabaran Nabin Shrestha 21-9, 21-12.

Dua beregu lelaki negara, Tan Kian Meng-Low Juan Shen dan Tan Chee Tean-Tan Wee Gieen turut menyumbangkan mata selepas menewaskan lawan masing-masing.

Berita Harian X