Selasa, 16 Februari 2016 | 11:05pm

Malaysia mara suku akhir Kejohanan Berpasukan Asia

Goh Jin Wei
Goh Jin Wei

KUALA LUMPUR: Bintang muda negara, Goh Jin Wei, muncul wira skuad wanita negara apabila menyumbangkan mata kemenangan bagi menewaskan Hong Kong 3-2 dalam aksi pertama Kumpulan A Kejohanan Berpasukan Asia, sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus membawa Malaysia melangkah ke suku akhir dengan pertembungan menentang China pada aksi terakhir, Khamis ini adalah penentuan bagi merebut gelaran juara dan naib juara kumpulan.

China turut mencatat kemenangan ke atas Hong Kong 5-0, semalam.

Dalam aksi di Stadium Tertutup GMC Balayogi, Hyderabad, India itu, Jin Wei yang baru berusia 16 tahun membuktikan penyenaraiannya dalam skuad kali ini adalah tepat apabila berjaya mengatasi tekanan dengan baik ketika rakan sepasukan mengharapkan mata kemenangan daripadanya selepas terikat 2-2.

Juara remaja dunia 2015 itu kekal tenang untuk mengetepikan cabaran Ng Wing Yung 21-6, 21-13, sekali gus membawa Malaysia layak ke kelompok lapan terbaik.

Terdahulu, perseorangan pertama negara, Ho Yen Mei tewas kepada Cheung Ngan Yi 21-17, 17-21, 18-21, manakala beregu wanita Amelia Alicia-Vivian Hoo mencatat kemenangan ke atas Fan Ka Yan-Yuen Sin Ying 21-18, 21-14.

Malaysia kembali ketinggalan selepas Lim Yin Fun tunduk di tangan Yip Pui Yin 14-21, 10-21, namun Lee Meng Yean-Chow Mei Kuan menyelamatkan kedudukan apabila mengetepikan cabaran Ng Tsz Yau-Yeung Nga Ting 21-16, 15-21, 21-16.

Berita Harian X