Selasa, 16 Februari 2016 | 6:13pm

Malaysia tepati ramalan atasi Sri Lanka

KUALA LUMPUR: Seperti diramal, skuad badminton lelaki negara tidak berdepan masalah untuk menewaskan Sri Lanka apabila mencatatkan kemenangan 4-1 dalam aksi sulung Kumpulan B Kejohanan Berpasukan Asia, sebentar tadi.

Dalam aksi di Stadium Tertutup GMC Balayogi, Hyederabad, India itu, bekas juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkifli dan naib juara Malaysia Masters, bulan lalu, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, menyumbang dua mata pertama skuad negara.

Zulfadli menang ke atas Nimmika Thisara 21-4, 21-6, manakala Iskandar menundukkan Sachin Dias 21-16, 21-18.

Bagaimanapun, perseorangan ketiga negara, Soo Teck Zhi tewas kepada Buwenaka Goonathileka 14-21, 17-21, sekali gus berkemungkinan besar tidak akan diturunkan menentang Nepal esok. Beliau dijangka digantikan oleh Soong Joo Ven.

Dua beregu lelaki negara, Tan Kian Meng-Low Juan Shen dan Teo Ei Yi-Ong Yew Sin, juga mencatatkan kemenangan.

Kian Meng-Juan Shen menang ke atas Imesh Hasaranga-Madusha Vibhavi 21-6, 21-12, manakala Eei Yi-Yew Sin menewaskan Sachin Dias-Buwenaka Gunathileka 21-12, 21-13.

Malaysia hanya perlu menang ke atas Nepal, esok bagi mengesahkan slot ke suku akhir sebelum membuat perhitungan dengan Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan B, bagi penentuan juara.

kumpulan.

Berita Harian X